Enam Insentif Untuk Peneroka Felda

PUTRAJAYA, 23 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Berkongsi berita gembira tersebut dengan lebih 50,000 hadirin termasuk golongan peneroka yang tidak berganjak dalam keadaan hujan lebat di Dataran Putrajaya di sini, Najib mengumumkan bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.

“Dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta, pembayaran akan mula dibuat pada penghujung bulan Ogos 2017 ini,” katanya dan disambut tepukan gemuruh hadirin pada sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2017 di sini.

Selari dengan usaha ke arah tadbir urus dan integriti lebih mantap, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelupusan sebahagian baki pinjaman saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

“Seramai 77,934 peneroka yang sedang membayar pinjaman saham FGV akan dilupuskan baki pinjaman mereka dengan kadar ringgit ke ringgit,” katanya.

Najib berkata bagi 1,626 peneroka yang telah membayar habis pinjaman, mereka akan menerima ganjaran tunai sebanyak RM1,820.

“Ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM128.10 juta. Bagi peneroka yang tidak pernah membuat sebarang bayaran pinjaman saham FGV kepada Felda, tidak akan menerima insentif ini,” katanya.

Beliau turut mengumumkan insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.

Selain itu, dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula turut diwujudkan melibatkan peruntukan RM300 juta bagi tempoh lima tahun bermula tahun 2017 hingga 2021 bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM40,000.

“Ini bermakna, jika hutang bagi kos operasi tanam semula adalah berjumlah RM60,000, sebanyak RM20,000 akan dilupuskan menggunakan dana khas ini, menerusi penilaian berdasarkan permohonan yang dihantar dan diluluskan oleh jawatankuasa di peringkat Felda,” jelasnya

Najib juga mengumumkan pembentukan geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada Felda dengan kadar RM7,500 per hektar bagi program tanam semula Felda bermula tahun ini hingga 2020.

“Ini melibatkan keluasan 24,280.31 hektar dengan peruntukan RM166.6 juta untuk empat tahun tersebut,” katanya.

Bagi menambahkan keceriaan dalam membina keluarga untuk peneroka Felda, Najib turut mengumumkan kelulusan membina lebih satu unit rumah di dalam satu tapak.

Sehingga kini, katanya, terdapat 4,711 peneroka yang mempunyai dua rumah di dalam satu tapak, manakala 70,506 tapak rumah lagi dipercayai sesuai untuk dilaksanakan mengikut kaedah itu.

“Bagi mengatasi masalah rumah generasi baharu Felda pula, Felda dan kerajaan negeri akan bekerjasama bagi meluluskan permohonan pembinaan rumah lebih daripada satu unit di atas satu tapak. Kos pembinaan rumah adalah melalui pembiayaan sendiri,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan insentif-insentif itu diberikan kepada 94,956 peneroka yang layak penuh iaitu kebun mereka diurus oleh Felda atau menghantar hasil kepada Felda.

Menurutnya, mereka yang bermuafakat bersama Felda itu turut setia membayar hutang-hutang yang didahulukan oleh Felda seperti hutang tanam semula dan pembesaran rumah.

Tambahnya mereka juga turut mencarum di dalam beberapa tabung yang diuruskan Felda seperti tabung tanam semula dan tabung keceriaan kampung.

Dalam pada itu, Najib berkata atas nawaitu (niat) yang mulia dan semangat permuafakatan, buat pertama kalinya, beliau mengumumkan akan memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada Felda dan peneroka yang menyaman Felda, untuk kembali bermuafakat bersama Felda.

“Namun begitu, waktu untuk kembali bermuafakat bersama Felda ini adalah bagi tempoh enam bulan, bermula Ogos 2017 dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Felda,” katanya.

Najib berkata bagi peneroka yang kembali bermufakat nanti, mereka layak untuk menerima enam insentif tersebut bermula Februari 2018.

Dana Felda Tidak Hilang, Kenyataan Saya Dipesong- Shahrir

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menjelaskan tidak berlaku kehilangan dana berjumlah RM4.3 bilion di dalam agensi tersebut.

Sambil menegaskan kenyataannya mengenai dana itu telah dipesongkan oleh beberapa portal berita, katanya beliau mempunyai senarai yang jelas mengenai perbelanjaan baki wang sebanyak RM4.3 bilion tersebut, antaranya digunakan bagi tujuan pelaburan jangka panjang oleh Felda di dalam dan luar negara.

“Tidak ada dana yang hilang. Daripada RM6 bilion, kita telah belanjakan RM1.7 bilion kepada peneroka Felda dengan setiap keluarga menerima bayaran sebanyak RM15,000.

“Baki sebanyak RM4.3 bilion pula antaranya dibelanjakan bagi pembayaran one off kepada kerajaan negeri Sabah sebanyak RM300 juta dan Pahang RM250 juta, pinjaman perumahan peneroka sebanyak RM400 juta, perbelanjaan pengurusan RM883 juta, selain pelaburan hartanah dalam dan luar negara, pembelian saham dan banyak lagi,” katanya.

Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Bahru berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini bagi mengulas laporan beberapa portal berita yang didakwa telah  memesongkan kenyataannya berhubung dana berjumlah RM6 bilion yang diterima Felda selepas disenaraikan di bursa saham.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya sebanyak RM1.438 bilion telah digunakan bagi pembelian pelaburan hartanah yang merangkumi pembelian hartanah di Bukit Katil, Melaka (RM304 juta), Grand Borneo Hotel di Sabah (RM86 juta), Apartmen Perkhidmatan Grand Plaza di London (RM500 juta), bangunan Institut Penilaian Negara (INSPEN) (RM225 juta) selain pembelian saham Iris Corporation Berhad (RM110 juta).

Shahrir berkata nilai pelaburan RM1.438 bilion itu kebanyakannya melibatkan sektor perkhidmatan perhotelan sebagai pelaburan jangka masa panjang yang memerlukan masa yang lama sebelum memberi pulangan.

Menurutnya, Felda juga telah membeli semula Felda Technoplant Sdn Bhd dengan nilai RM38 juta dan sehingga kini jumlah kerugian yang ditanggung Felda adalah sebanyak RM108 juta melibatkan projek Transnovasi.

“Tugas saya (selaku pengerusi Felda) adalah untuk memastikan kesemua pelaburan yang telah dilakukan Felda berjalan mengikut perancangan, bagaimana pelaburan itu dilakukan dan memastikan pelaburan tersebut memberikan pulangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Felda memutuskan untuk menjual sebuah hotel milik agensi berkenaan di London yang dibeli dengan harga RM548 juta pada 2012, dengan proses penjualan sedang dilaksanakan dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Perlantikan Shahrir Samad Tiada Kaitan Dengan Kedudukan Kewangan FELDA

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menyangkal dakwaan pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana masalah kewangan yang dihadapi Felda di bawah kepimpinan Tan Sri Isa Samad.

Beliau menjelaskan tempoh perkhidmatan Isa sebagai Pengerusi Felda tamat pada 31 Dis lepas dan beliau juga masih kekal sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

“Tidak timbul ada dakwaan bahawa ia merupakan satu hukuman (terhadap Isa) atau pengakuan bahawa Felda menghadapi masalah kewangan di bawah pentadbiran Isa,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Razali berkata beliau yakin pengalaman luas Shahrir dalam pentadbiran kerajaan serta beberapa jawatan lain termasuk Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), akan dimanfaatkan sepanjang pelantikannya sebagai Pengerusi Felda.

Menurutnya beliau telah bertemu dengan Shahrir yang memberi banyak pandangan khususnya berkaitan soal kewangan dan pengauditan Felda serta pelaburan Felda.

Mengenai cadangan Shahrir untuk melaksanakan penstrukturan semula model perniagaan Felda, Razali berkata beliau menyokong penuh cadangan itu bagi memenuhi harapan para peneroka.

“Felda melakukan aktiviti yang bukan sahaja dalam sektor perladangan, tetapi juga soal pelaburan, pendidikan dan komuniti.

“Jadi sudah tentu perkara-perkara ini perlu dilaksanakan dengan lebih tersusun dan rapi, malah beliau memberi penekanan kepada soal perumahan generasi baharu Felda,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Shahrir yang juga anggota parlimen Johor Bahru sebagai pengerusi Felda yang baharu pada Jumaat lepas.

 Projek Perumahan Generasi Baharu Felda Dilaksanakan Awal 2017

  1. Projek pembangunan 11,350 unit kediaman di bawah program Perumahan Generasi Baharu Felda kini berada di peringkat akhir perbincangan untuk dimuktamadkan dan dijangka akan dilaksanakan pada awal tahun depan.
  2. Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ismail, projek yang menelan belanja sebanyak RM869 juta itu kini pada peringkat perbincangan terakhir dengan pihak pemaju di bawah program Inisiatif Kewangan Swasta.
    “Dari segi penyerahan kita dalam proses untuk menyerahkan kepada penerima. Cuma kita sedang bantu untuk mereka mendapat pembiayaan kewangan pembelian daripada institusi kewangan.
    “Kita sedang bincang dengan BSN dan MBSB kerana kebanyakan pemohon ini tidak mempunyai slip gaji. Jadi kita nak tunjukkan penyata bahawa mereka mendapat pendapatan berterusan dan boleh membayar pinjaman sekiranya diberikan pinjaman tersebut,”_ katanya.

  1. Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengenai status projek perumahan berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
    http://klxpress.com.my/parlimen/19988-razali-projek-perumahan-generasi-baharu-felda-dilaksanakan-awal-2017.html

Felda Di Iktiraf Badan Pembangunan Paling Berjaya Di Dunia

MARAN, 23 Sept – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diiktiraf sebagai badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia yang tidak dapat disaingi oleh badan pembangunan tanah di negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata walaupun banyak negara luar seperti Afrika cuba mengguna pakai dan mencontohi modul pembangunan Felda yang diasaskan…

via Felda Diiktiraf Badan Pembangunan Paling Berjaya Di Dunia – Najib — UMNO Online

Felda Global Ventures Catat Untung Naik 35%

29 OGOS: Pengusaha peladangan sawit ketiga terbesar dunia, Felda Global Ventures, melaporkan kenaikan perolehan sebanyak 35% untuk suku tahun kedua, disokong pengeluaran minyak sawit mentah yang kuat menyusuli langkah merangsang hasil buah sawit. Keuntungan bersih syarikat Malaysia itu naik ke paras RM62.2 juta pada suku tahun yang berakhir pada Jun daripada RM46.1 juta bagi tempoh…

via Felda Global Ventures catat untung naik 35% — BNBCC – Laman Rasmi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia