1Malaysia Negaraku

 

Lapan tahun lalu, konsep 1Malaysia diperkenalkan dengan membawa idea perpaduan dalam kepelbagaian atau ‘unity in diversity’. Menerusi idea ini, perpaduan tanpa mengira bangsa, latar belakang atau perbezaan agama diutamakan demi masa hadapan yang lebih baik.

Konsep ini diterima sebagai sebuah pendekatan bagi mencapai perpaduan nasional sejak ia dilancarkan pada Jun 2009 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebagai salah satu inisiatif yang merangkumi prinsip berasaskan kebersamaan dan kesatuan, lapan nilai-nilai aspirasi telah diperkenalkan bagi mendukung 1Malaysia yang bukan sahaja sebuah konsep malah asas dalam proses membina sebuah negara.

Menerusi konsep itu, produk-produk 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Klinik 1Malaysia (K1M), Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diperkenalkan untuk kesejahteraan bersama rakyat selain membantu mereka menangani kos sara hidup.

Inisiatif-inisiatif ini akan diteruskan lagi dan ditambah baik bagi memastikan setiap orang mendapat manfaatnya. Dengan adanya Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan ekspo serta kembara yang giat dijalankan kerajaan, kemudahan-kemudahan ini lebih mudah diakses dan dicapai oleh rakyat Malaysia.

Contohnya dengan pengenalan KR1M 2.0 yang sedang diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, penambahan K1M seluruh negara oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta SL1M yang menawarkan ribuan pekerjaan di bawah kendalian Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Seiring dengan usaha-usaha yang dijalankan, ikon 1Malaysia kini diperbaharui dan dijenamakan semula sebagai ‘1Malaysia Negaraku’. Kehadiran ikon baru ini membuktikan identiti 1Malaysia masih wujud dan ia tidak pernah diketepikan.

 

Malah, pengenalan baru ini memperkukuhkan lagi idea nilai-nilai adat dan budaya rakyat Malaysia yang membawakan mesej kebersamaan, kebersatuan, kerjasama dan saling hormat-menghormati telah dikongsi sejak sekian lama.

1Malaysia Negaraku adalah simbol kekuatan perpaduan yang sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup kita. Ia bukan sekadar sebuah konsep tapi ia adalah identiti kita, legasi perpaduan yang telah kita pegang sejak sekian lama.

Identiti perpaduan rakyat Malaysia.

Tags:
1Malaysia
1Malaysia Negaraku
negaraku

PR1MA Pemangkin Agenda Bumiputera

Perumahan merupakan salah satu agenda pembangunan terpenting dan adalah hasrat Kerajaan bahawa setiap rakyat negara ini berpeluang memiliki rumah sendiri. Melalui agenda ini, PR1MA diamanatkan membina perumahan mampu milik berkonsepkan gaya hidup moden di seluruh negara, terutamanya untuk mereka yang pendapatannya berada pada paras pertengahan (M40).

Mandat PR1MA bukan sahaja tertumpu kepada pembinaan kediaman untuk golongan berpendapatan sederhana sahaja. Mungkin ramai yang tidak tahu tetapi PR1MA merupakan salah satu pemangkin yang mampu mencetus kemajuan sosio ekonomi negara melalui pemerkasaan agenda bumiputera dari segi pemilikan hartanah, kenaikan nilai tanah rizab Melayu dan “multiplier effect” atau impak berganda dengan membuka lebih banyak peluang perniagaan lagi.

Mengikut statistik yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, dalam tahun 2016, hanya 44% transaksi pemilikan rumah kediaman melibatkan Bumiputera dengan nilai hampir RM 21 bilion. PR1MA menganggarkan dari 500,000 unit yang dimandatkan, lebih kurang 68% kediaman PR1MA atau 340,000 unit yang bernilai secara purata RM85 bilion, akan dimiliki oleh rakyat Bumiputera.

Pendekatan yang diambil oleh PR1MA untuk menggalakan pemilikan rumah terutamanya di kalangan golongan berpendapatan pertengahan dan dari golongan Bumiputera, tertumpu bukan sahaja dari segi harga jualan malah juga segi pembiayaan. Sesungguhnya ini adalah antara komitmen Kerajaan untuk menggalakkan pemilikan hartanah dan merealisasikan impian rakyat-rakyat Malaysia yang ingin memiliki kediaman sendiri.

Dengan adanya pembangunan kediaman PR1MA di seluruh negara, nilai pembangunan tanah rizab Melayu juga ditingkatkan. Setakat ini, 61 projek PR1MA yang merangkumi 53,062 unit sedang dibangunkan di atas tanah rizab Melayu dengan nilai tanah sebanyak RM1.2 bilion dan nilai pembangunan sebanyak RM13 bilion.

Terdapat banyak tanah rizab Melayu yang terletak di kawasan strategik. Apa yang lebih membanggakan, pembangunan PR1MA bukan sahaja akan dapat meningkatkan nilai tanah tersebut, ianya juga harus dilihat dan dinilai dari segi kesan limpahan kepada ekonomi komuniti-komuniti sekeliling pembangunan PR1MA.

Sukacita saya berkongsi di sini bahawa setakat ini, daripada sejumlah 267,902 unit kediaman yang telah diluluskan oleh Anggota Perbadanan PR1MA, sebanyak 139,393 unit kediaman PR1MA kini dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Ini tidak termasuk rumah mampu milik di bawah naungan agensi-agensi lain yang juga dalam pelbagai peringkat pembinaan. Antaranya setakat bulan April, 43,699 unit kediaman di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), 42,288 unit kediaman di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan 28,195 unit di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) .

Projek PR1MA juga perlu dilihat dari segi big picture, iaitu limpahan ekonomi yang dijana melalui pembangunan projek-projek PR1MA yang mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value) sebanyak RM125 bilion.

Apa yang penting juga, PR1MA telah memberi impak berganda atau “multiplier effect” dalam membuka peluang perniagaan kepada peniaga Bumiputera melalui rantaian perbekalan dan pembangunan vendor.

Setakat ini, PR1MA telah memberikan kontrak-kontrak bernilai lebih daripada RM15 bilion kepada 574 firma Bumiputera dari seluruh negara untuk pelbagai jenis kerja pembinaan dan perundingan. Daripada 89 projek bernilai sejumlah RM22.4 bilion yang telah ditandatangani, sebanyak 55 projek atau 62% telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera berlandaskan merit. Ini jelas menunjukkan komitmen PR1MA terhadap agenda Bumiputera dengan menyediakan peluang sama rata kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

Alhamdulillah, saya juga telah berpeluang berkunjung ke tapak-tapak projek PR1MA di seluruh negara sebelum ini. Terus terang saya katakan, saya berpuas hati dengan mutu kerja kediaman PR1MA yang dibina. Tentu sekali ini membuktikan bahawa syarikat-syarikat bumiputera mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kemampuan untuk mengambil bahagian dalam projek pembangunan negara jika diberi peluang.

Saya dimaklumkan bahawa ramai kontraktor dan firma perundingan telah mengatakan, tanpa program PR1MA dan tanpa bantuan Kerajaan, tidak mungkin mereka terlibat dalam projek pembangunan yang berskala besar. Alhamdulillah, PR1MA telah membuka peluang untuk syarikat-syarikat Bumiputera bersaing dalam industri pembinaan, demi membuat anjakan besar di dalam keupayaan mereka. Saya sendiri juga telah memastikan bahawa peluang diberi kepada kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana di setiap negeri, supaya manfaat yang dicetus oleh projek PR1MA boleh dirasai di setiap pelosok negeri.

Oleh itu, hari ini saya berasa amat gembira kerana dapat berjumpa sendiri dengan lebih daripada 1,500 rakan Bumiputera PR1MA, merangkumi pelbagai sektor, termasuk pihak pemaju, syarikat guaman, pihak bank, sehinggalah kontraktor-kontraktor yang pemotong rumput, pemasang rangka pintu, perkhidmatan keselamatan dan sebagainya. Ingatlah bahawa sumbangan dan kerja keras anda amat penting dalam mencapai agenda pembangunan negara.

Aidil Adha: Tarikh Lihat Anak Bulan Zulhijah 22 Ogos Ini

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah untuk menetapkan Hari Raya Qurban adalah pada petang 22 Ogos bersamaan 29 Zulkaedah 1438 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Ia akan mengisytiharkan pada malam itu juga melalui radio dan televisyen tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu tarikh bagi Hari Raya Qurban.

Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban (Aidil Adha) adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijah di tempat yang ditetapkan.

Tempatnya ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri
Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor.

Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda,
Kedah; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah; Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman,
Terengganu; Pulau Perhentian, Besut, Terengganu; Balai Cerap Kusza, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.

Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak dan
Kota Baharu yang kesemuanya di Kelantan.

Esplanade Luak, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu, kesemuanya di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah;
Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands, Bukit Pelindong, Kuantan kesemuanya di Pahang;

Tingkat 13 Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa, Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya,
Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di Perlis.

Pecah Tanah East Coast Railway Link (ECRL)

Alhamdulillah, dengan rasminya pecah tanah Projek ECRL pada 9 Ogos 2017, menandakan satu lagi detik bersejarah untuk negara, sebuah projek pengangkutan awam darat yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di Pantai Timur.

Sebelum ini, pengangkutan awam darat tidak diberikan fokus yang sewajarnya. Oleh itu, saya terpanggil untuk menjadikannya agenda utama kerajaan dan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara, bagi menjamin kesejahteraan rakyat, bukan sahaja di bandar tetapi juga meliputi kawasan pinggir bandar.

Sejak Merdeka lagi, kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia hanya dihubungkan melalui jalan darat dan lebuhraya, selain landasan kecil keretapi yang sememangnya tidak mencukupi.

Saban tahun, kesesakan teruk akan berlaku terutamanya di waktu perayaan, di mana tempoh perjalanan menggunakan lebuhraya dan jalan darat dari Pantai Barat ke Pantai Timur dan sebaliknya mengambil masa 3 kali lebih lama berbanding biasa.

Pada masa sama, ketiadaan mod pengangkutan yang efisien turut mengurangkan jumlah barangan yang boleh dibawa masuk dan keluar, seterusnya mengekang pertumbuhan dan aktiviti ekonomi bagi kawasan Pantai Timur.

Inilah antara sebab utama Kerajaan membuat keputusan untuk membina ECRL, projek InfraRakyat berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang akan menghubungkan Lembah Klang dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Pembinaan landasan sepanjang 688 km ini juga sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur negara yang efisien, selain menghubungkan bandar dan menambahbaik pengangkutan awam di kawasan luar bandar di Pantai Timur.

Suka saya nyatakan bahawa projek ini menjadi kenyataan hari ini adalah hasil rundingan G2G antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China yang menyaksikan pelantikan syarikat milik kerajaan China yakni China Communications Constructions Company (CCCC) untuk membangunkan projek bernilai RM55 bilion ini, manakala Malaysia Rail Link Sdn Bhd adalah syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan ditugaskan sebagai pemilik projek.

Terima kasih kepada Kerajaan China yang telah bekerjasama dengan erat dengan kita bagi menjayakan projek mega ini, terutamanya kepada Presiden Xi Jinping yang turut menghantar utusan peribadi beliau TYT Wang Yong di majlis pecah tanah hari ini.

Bagi projek ECRL ini juga, Malaysia menerima terma pembayaran menarik di mana 85 peratus projek ini akan dibiayai soft loan 3.25 peratus daripada China Exim Bank, dan baki 15 peratus dibiayai program sukuk diuruskan oleh bank-bank pelaburan tempatan.

Sejak awal perancangan projek ECRL ini lagi, Kerajaan telah meletakkan kepentingan rakyat Malaysia sebagai keutamaan, di mana sekurang-kurangnya 30 peratus daripada projek ini akan melibatkan penyertaan kontraktor tempatan yang layak.

Oleh itu, saya menyeru kepada kontraktor tempatan yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan, ambillah peluang yang tersedia dan sertailah projek bersejarah ini.

Selain itu, kolaborasi Malaysia dan China dalam projek ini juga telah menghasilkan program Latihan Industri ECRL yang bertujuan memberikan para pelajar Malaysia kemahiran yang mencukupi bagi turut serta dalam pembinaan ECRL.

Program ini telah dilancarkan pada 14 Jun 2017 dan mensasarkan penyertaan 3,600 pelajar Malaysia, di mana mereka yang berjaya melengkapkan latihan akan secara automatik ditawarkan pekerjaan.

Sesungguhnya seperti MRT, ECRL ini adalah satu lagi “game-changer” dan “mindset-changer” bagi rakyat Malaysia, di mana ia akan memendekkan masa perjalanan dari dan ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Waktu perjalanan keretapi dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak ke Kota Bharu dijangka mengambil masa kurang daripada 4 jam, berbanding 7 jam melalui jalan darat dan 12 jam pada musim perayaan.

Oleh yang demikian, ECRL akan menyediakan alternatif yang lebih pantas, selesa serta mengurangkan jurang dan menjadi pemangkin kepada kesaksamaan ekonomi antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

ECRL bakal merangsang pelaburan, meningkatkan aktiviti ekonomi, mewujudkan banyak pekerjaan, memudahkan pendidikan berkualiti, dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri-negeri sepanjang laluannya iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Sebagai projek keretapi terpanjang Malaysia, ECRL juga akan menggalakkan pembangunan kawasan perindustrian dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang memupuk daerah kediaman padat dan pusat komersial sepanjang stesen keretapi berkualiti.

Bandar-bandar seperti Bentong, Mentakab, Maran, Kuantan, Cherating, Chukai, Dungun, Kuala Terengganu, Tok Bali dan Kota Bharu yang telah ditetapkan sebagai stesen ECRL bakal menerima manfaat daripada pembangunan ini.

Salah satu komponen penting ECRL adalah ia menjadi pelengkap kepada integrasi pelbagai mod pengangkutan dan menyediakan kesalinghubungan atau connectivity kepada pengguna dan barangan dari dan ke negeri-negeri Pantai Timur yang mempunyai 4.4 juta penduduk.

ECRL juga akan membawa banyak manfaat kepada pengangkutan muatan kerana ia menghubungan kawasan ekonomi dan industri utama dalam ECER seperti Malaysia-China Industrial Park, Gambang Halal Park, Kertih Biopolymer Park, dan Tok Bali Integrated Fisheries Park ke Pelabuhan Kuantan dan Port Klang.

Dianggarkan menjelang 2030, seramai 5.4 juta pengguna dan 53 juta tan kargo akan menggunakan perkhidmatan ECRL setiap tahun sebagai mod pengangkutan utama antara Pantai Barat dan Pantai Timur.

Kerajaan turut meramalkan bahawa KDNK bagi 3 negeri di Pantai Timur ini akan meningkat sebanyak 1.5 peratus dengan terlaksananya projek ini.

Ini bermakna, ECRL akan meningkatkan tahap pendapatan dan taraf hidup penduduk Pantai Timur, dengan penduduk luar dan separa luar bandar dijangka menjadi penerima manfaat utama daripadanya.

Terlalu banyak manfaat yang akan dibawa oleh ECRL, kepada rakyat, negara, di peringkat tempatan, Asia Tenggara, malah di peringkat global.

Tetapi malangnya, masih ada dalam kalangan pembangkang yang cuba untuk menjejaskan projek ini.

Walaupun begitu, saya memberi jaminan kepada rakyat di Pantai Timur bahawa Kerajaan Barisan Nasional mempunyai rekod prestasi cemerlang dan akan menepati janji, seperti yang telah kita lakukan dengan siapnya MRT baru-baru ini.

Dengan sokongan berterusan kepada kerajaan, Insya-Allah, saya yakin dan percaya kita akan menyaksikan sempurnanya ECRL pada tahun 2024 seperti yang dijanjikan.

Najib Garis Tiga Prinsip Penentu Kejayaan Perjuangan UMNO, BN

MACHANG, 12 Ogos — Roh perjuangan yang ikhlas untuk rakyat, barisan kepimpinan yang padu dan wala kepada pemimpin adalah tiga prinsip utama yang menentukan kejayaan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sebaliknya, perjuangan yang berasaskan balas dendam, kekecewaan dan material pasti akan menemui kegagalan.

“Kalau perjuangan itu berdasarkan roh perjuangan yang suci untuk melakukan sesuatu yang terbaik, maka insya-Allah akan berkat perjuangan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang, di sini, hari ini.

Najib yang juga Presiden UMNO turut berharap akan berlaku perubahan di Kelantan pada Pilihan Raya  Umum ke-14 berbanding pilihan raya sebelum ini memandangkan sokongan terhadap UMNO dan BN di negeri itu bertambah baik.

Sementara itu, Najib berkata sebanyak 418 unit rumah PPR dengan kos RM75 juta yang sedang dibina di Kampung Batu 25 di sini, dijangka siap pada awal 2019.

Beliau berkata PPR berkenaan yang merupakan antara lapan projek yang sedang dan telah siap dilaksanakan di Kelantan, adalah sebahagian daripada janji beliau kepada rakyat Machang beberapa tahun lepas.

Beliau berkata setiap unit rumah PPR itu dijual pada harga RM35,000 seunit dengan subsidi antara  RM80,000 dan RM120,000 ke atas ditanggung kerajaan berdasarkan kos pembinaan dan harga tanah bagi sesebuah PPR.

“Kerajaan persekutuan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat Kelantan. Sebagai Perdana Menteri saya tidak pernah amalkan dasar menghukum rakyat Kelantan, kalau diukur dari segi peruntukan saya beri lebih daripada pemimpin yang terdahulu.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan jumlah peruntukan yang diluluskan kepada Kelantan hanya RM3.7 bilion manakala pada Rancangan Malaysia Ke-11 peruntukannya berjumlah RM12.87 bilion, hampir  empat kali ganda,” katanya.

Antara pembangunan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan di Kelantan ialah lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, projek perumahan, hospital, jambatan baharu serta membina dan membaik pulih masjid.

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Machang.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

JAKIM Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Sistem Perundangan Islam

PUTRAJAYA, 10 Ogos – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat kebangsaan yang dinamakan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dalam kenyataan hari ini berkata penubuhan jawatankuasa khas itu adalah susulan arahan daripada mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos lalu.

“Jakim yang diberi mandat untuk mengurusetiakan JKMMS ini bertanggungjawab melaksanakan cadangan-cadangan yang terkandung dalam arahan tersebut bagi tujuan memperkasakan sistem perundangan syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Menurut Othman, JKMMS dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Yusof Noor dan akan mempunyai dua jawatankuasa pelaksanaan iaitu Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk.

“Pemilihan Yusuf sebagai pengerusi adalah atas dasar pengalaman dan ketokohan beliau yang meluas dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan dianggotai oleh tokoh-tokoh negara yang pakar dalam pelbagai bidang dan sebahagian daripada mereka bakal mengetuai enam kluster di bawah JKMMS.

Kluster itu ialah Pengharmonian Antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah; Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355]; Pengurusan & Penstrukturan Mahkamah Syariah; Latihan Hakim & Pegawai Syariah; Pendidikan Undang-undang Syariah dan Hal-ehwal berkaitan Peguam Syarie.

“Keahlian ahli-ahli jawatankuasa berkenaan telah dikenal pasti dan pelantikan rasmi akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.

MB Pahang Harap ECRL Jadi Medan Untuk Kontraktor Bukti Kepakaran

KUANTAN, 9 Ogos – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yakin Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)  bernilai RM55 bilion yang menghubungkan Lembah Klang dan Pantai Timur itu akan memberi impak besar terhadap sosioekonomi di wilayah tersebut.

Katanya limpahan ECRL akan memberi manfaat bukan sahaja kepada industri tetapi juga penduduk di sekitar laluan kereta api berkenaan.

“Adalah menjadi harapan agar bahan-bahan tempatan dapat digunakan selain kontraktor tempatan turut diberikan peluang untuk turut sama menjayakan projek mega ini,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama, di sini hari ini.

Pada masa sama beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas inisiatif dan kerja kerasnya dalam menjayakan projek itu demi memastikan perkembangan ekonomi di pantai timur dapat bergerak selari dengan pembangunan di pantai barat.

Najib hari ini menyempurnakan majlis pecah tanah  Projek ECRL di KotaSAS yang bakal menjadi jendela kepada lonjakan ekonomi di pantai timur  dan memacu kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar  wilayah itu sebanyak 1.5 peratus sebaik ia siap pada 2024.

ECRL akan melibatkan laluan kereta api berteknologi tinggi sepanjang 688 kilometer bermula di Gombak dan berakhir di Kota Bharu, Kelantan. Di Pahang sendiri projek itu akan melibatkan pembinaan laluan sepanjang 232.4 km.

Ia akan melalui  Bentong, Mentakab, Maran, Gambang, KotaSAS, Pelabuhan Kuantan dan Cherating.

Di Terengganu pula ia akan melibatkan laluan sepanjang 229.6 km dengan hentian di Chukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu, Telaga Papan dan Kampung Raja.

Di Kelantan, ECRL akan melalui kawasan Tok Bali, Jelawat dan Kota Bharu melibatkan laluan sepanjang 46.1 km.

Projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 itu dijangka menyediakan lebih 3,600 peluang pekerjaan kepada siswazah dalam industri itu dan untuk permulaan seramai 50 siswazah lepasan bidang kejuruteraan awam akan diambil mengikuti Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) ECRL.

Ketua Koordinator program itu Prof Dr Rizalman Mamat yang juga Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Pahang (UMP), berkata universiti berkenaan telah dilantik sebagai universiti fokal untuk PLKI ECRL.

“PLKI ECRL akan melatih 3,600 orang siswazah dalam tempoh tujuh tahun terutama mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal. Untuk tahun ini, hanya 300 tempat ditawarkan dengan pengambilan awal melibatkan 50 orang pada bulan September nanti.

“Untuk pengambilan kedua pada Disember nanti, sebanyak 250 siswazah akan diambil mengikuti kursus yang akan diadakan selama empat hingga enam bulan itu dengan diselaras bersama Malaysia Rail Link Sdn. Bhd,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya UMP telah membangunkan silibus dengan kerjasama Beijing Jiaotong University dan Southwest Jiaotong University bagi perkongsian pengetahuan dan teknologi dalam bidang pengangkutan kereta api.

Penggubalan silibus turut mendapat kerjasama 13 institusi lain termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknologi MARA, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaysia Kuala Lumpur.

Kerajaan Cadang Jawatan Mufti Setaraf Exco – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kerajaan mencadangkan jawatan mufti dinaik taraf setara dengan jawatan Exco kerajaan negeri bagi membolehkan mufti memberikan pandangan mengenai agama Islam melalui mesyuarat Exco untuk disalurkan kepada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pandangan yang diberikan oleh semua 14 mufti seluruh negara itu boleh disatukan dan dicambahkan dalam membantu kerajaan merealisasikan agenda transformasi pembangunan negara mengikut landasan syarak.

“Sebagai contoh tentang isu perjudian di mana dalam Islam hasil pandangan 14 ulama seluruh negara inilah yang menjelaskan bahawa umat Islam tidak dibenarkan berjudi walaupun di premis yang berlesen.

“Mahkamah syariah berkuasa menjatuhkan hukuman (terhadap orang Islam yang berjudi) ,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jamil Khir berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) berkenaan kesediaan kerajaan mengadakan Himpunan Majlis Ulama untuk menyelaras kegiatan dakwah di negara ini.

Katanya kerajaan dari semasa ke semasa juga telah menyediakan platform pencambahan ilmu dengan menghimpunkan ulama, cendekiawan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam seluruh negara melalui program berkala seperti Majlis Ulama’- Umara’.

Eksport Barangan Halal Negara RM42 Bilion Tahun Lepas

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Eksport barangan halal negara berjumlah kira-kira RM42 bilion tahun lalu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata separuh daripadanya terdiri daripada makanan dan minuman halal.

“Sebanyak RM12 bilion telah dilaburkan dalam industri halal di Malaysia dengan syarikat-syarikat yang terlibat telah berjaya mencipta sebanyak 11,000 peluang pekerjaan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) mengenai perkembangan Industri Halal Hab di Malaysia, di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan telah meluluskan pinjaman sebanyak RM19.78 juta kepada 51 syarikat perniagaan mikro perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera di Sabah di bawah Business Accelerator Programme (BAP) setakat ini.

Beliau berkata sebanyak RM12.78 juta pula diperuntukkan kepada 89 syarikat PKS di negeri itu di bawah Bumiputera Enterprise Enhancement Programme (BEEP) setakat Jun tahun ini.

“Sepanjang tahun 2014 hingga tahun ini, sebanyak RM2.27 juta geran telah diluluskan kepada belia-belia usahawan dalam latihan melengkapkan pengetahuan mereka bagi mengusahakan perniagaan sendiri di bawah SME Corp,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom).

Raime ingin mengetahui jumlah usahawan IKS mengikut negeri terutamanya di Sabah serta peratusan perniagaan mikro PKS yang perlu diberi bantuan dan bimbingan dalam bidang keusahawanan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) mengenai kesedaran dalam menggalakkan ekonomi berteraskan digital oleh kerajaan terhadap keusahawanan, Ahmad berkata kementerian akan terus membantu PKS menerusi pelbagai program untuk menggalakkan e-dagang dalam kalangan peniaga dan usahawan.

Laksana GST Sebab 1MDB Tuduhan Songsang

4 OGOS: Laungan pembangkang kononnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terlaksana disebabkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tuduhan songsang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tuduhan itu adalah percubaan pembangkang meraih sokonga rakyat walaupun mereka sebenarnya tidak memahami tujuan sebenar GST diperkenalkan.

“Selama ini, pendapatan negara banyak ditampung hasil minyak bagi memastikan perkhidmatan awam dan perkhidmatan asas dapat dinikmati rakyat, namun harga minyak global pada 2014 mulai menjunam dan Malaysia turut terkesan

“Keadaan ini menyebabkan hasil negara ketika itu menyusut sehingga lebih RM40 bilion, iaitu satu perangkaan yang pasti menyebabkan banyak perkhidmatan terpaksa dihentikan.

“Menyedari bahawa kebergantungan hasil negara pada industri minyak tidak stabil, GST diperlukan untuk memastikan perkhidmatan dan kemudahan asas berupaya diteruskan,” katanya di blog rasminya, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ketaksuban Pengerusi Pakatan Rakyat, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menjatuhkan kerajaan akhirnya menyebabkan beliau memaksa ahli politik pembangkang lain menipu rakyat dengan menjanjikan penghapusan GST.

Menurutnya khayalan itu terpaksa dicanang pembangkang walaupun mereka sedar ekonomi negara akan lumpuh sehingga mengundang penderitaan rakyat jika GST dihapuskan.

“Tuduhan bahawa GST berpunca daripada kegagalan urus tadbir kerajaan adalah satu penipuan kerana 160 buah negara lain turut melaksanakannya, termasuk negara maju seperti England, Perancis, Jerman dan Kanada.

“Sehingga hari ini, kualiti hidup rakyat masih terjaga kerana dibiayai GST. Hakikatnya, tidak ada cukai yang popular, waima sebanyak mana penjanaan pembangunan dan kemudahan daripada hasilnya.

“Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak kisah, asalkan beliau dapat menjatuhkan kerajaan. Justeru, saya berharap rakyat Malaysia menolak dakyah dan penipuan yang bertujuan mengumpul sokongan tanpa sebarang rasa tanggungjawab kepada negara serta masyarakat,” kata Presiden UMNO itu.