Aidil Adha: Tarikh Lihat Anak Bulan Zulhijah 22 Ogos Ini

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah untuk menetapkan Hari Raya Qurban adalah pada petang 22 Ogos bersamaan 29 Zulkaedah 1438 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Ia akan mengisytiharkan pada malam itu juga melalui radio dan televisyen tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu tarikh bagi Hari Raya Qurban.

Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban (Aidil Adha) adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijah di tempat yang ditetapkan.

Tempatnya ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri
Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor.

Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda,
Kedah; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah; Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman,
Terengganu; Pulau Perhentian, Besut, Terengganu; Balai Cerap Kusza, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.

Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak dan
Kota Baharu yang kesemuanya di Kelantan.

Esplanade Luak, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu, kesemuanya di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah;
Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands, Bukit Pelindong, Kuantan kesemuanya di Pahang;

Tingkat 13 Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa, Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya,
Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di Perlis.

JAKIM Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Sistem Perundangan Islam

PUTRAJAYA, 10 Ogos – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat kebangsaan yang dinamakan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dalam kenyataan hari ini berkata penubuhan jawatankuasa khas itu adalah susulan arahan daripada mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos lalu.

“Jakim yang diberi mandat untuk mengurusetiakan JKMMS ini bertanggungjawab melaksanakan cadangan-cadangan yang terkandung dalam arahan tersebut bagi tujuan memperkasakan sistem perundangan syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Menurut Othman, JKMMS dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Yusof Noor dan akan mempunyai dua jawatankuasa pelaksanaan iaitu Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk.

“Pemilihan Yusuf sebagai pengerusi adalah atas dasar pengalaman dan ketokohan beliau yang meluas dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan dianggotai oleh tokoh-tokoh negara yang pakar dalam pelbagai bidang dan sebahagian daripada mereka bakal mengetuai enam kluster di bawah JKMMS.

Kluster itu ialah Pengharmonian Antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah; Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355]; Pengurusan & Penstrukturan Mahkamah Syariah; Latihan Hakim & Pegawai Syariah; Pendidikan Undang-undang Syariah dan Hal-ehwal berkaitan Peguam Syarie.

“Keahlian ahli-ahli jawatankuasa berkenaan telah dikenal pasti dan pelantikan rasmi akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tuntutlah Ilmu

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga”
(Hadith Riwayat Muslim)
Huraian Hadith :
  1. Orang yang menuntut ilmu akan mendapat kemudahan dan pertolongan daripada Allah SWT, dan mendapat ganjaran Syurga di akhirat kelak.
  2. Orang yang berilmu pengetahuan mempunyai kelebihan tertentu kerana ia dapat memberi petunjuk kepada kebaikan dan dapat membezakan yang hak dengan yang batil.
  3. Orang yang menuntut ilmu akan dapat memberi faedah kebaikan pada dirinya, masyarakat dan negara.
Sumber :
Kitab Riyadhus Salihin

Kerajaan Cadang Jawatan Mufti Setaraf Exco – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kerajaan mencadangkan jawatan mufti dinaik taraf setara dengan jawatan Exco kerajaan negeri bagi membolehkan mufti memberikan pandangan mengenai agama Islam melalui mesyuarat Exco untuk disalurkan kepada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pandangan yang diberikan oleh semua 14 mufti seluruh negara itu boleh disatukan dan dicambahkan dalam membantu kerajaan merealisasikan agenda transformasi pembangunan negara mengikut landasan syarak.

“Sebagai contoh tentang isu perjudian di mana dalam Islam hasil pandangan 14 ulama seluruh negara inilah yang menjelaskan bahawa umat Islam tidak dibenarkan berjudi walaupun di premis yang berlesen.

“Mahkamah syariah berkuasa menjatuhkan hukuman (terhadap orang Islam yang berjudi) ,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jamil Khir berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) berkenaan kesediaan kerajaan mengadakan Himpunan Majlis Ulama untuk menyelaras kegiatan dakwah di negara ini.

Katanya kerajaan dari semasa ke semasa juga telah menyediakan platform pencambahan ilmu dengan menghimpunkan ulama, cendekiawan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam seluruh negara melalui program berkala seperti Majlis Ulama’- Umara’.

Kekuatan Yang Sebenar

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Bukannya orang yang kuat itu orang yang menang dalam pertarungan, tetapi orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.”

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :
  1. Kekuatan yang sebenar-benarnya ialah dapat menguasai diri dalam keadaan marah.
  2. Umat islam hendaklah berusaha menjauhi sifat marah kerana sifat demikian menandakan seseorang itu kalah dalam perjuangan.

 

Sumber :
 Kitab Riyadhus Salihin

Doa Buat Palestin

Doa Buat Palestin
Dan keatas Israel…

Saya juga berharap semua pengurusan Masjid seluruh Pahang dapat menjunjung Titah KDYMM Pemangku Raja Pahang memperbanyakan Doa buat #Aqsa serta solat hajat disamping doa keatas Israel.

Ya Allah Perbaikilah Keadaan Umat Muhammad SAW demi kebaikan Islam dan Umatnya.

Dan Engkau musnahkanlah segala keburukan dari siapa jua jika kemusnahan itu untuk kebaikan Islam dan Umatnya.

Amieeeen Ya Rabb.

Kekuatan Yang Sebenar

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Bukannya orang yang kuat itu orang yang menang dalam pertarungan, tetapi orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.”

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :
  1. Kekuatan yang sebenar-benarnya ialah dapat menguasai diri dalam keadaan marah.
  2. Umat islam hendaklah berusaha menjauhi sifat marah kerana sifat demikian menandakan seseorang itu kalah dalam perjuangan.

 

Sumber :
 Kitab Riyadhus Salihin

Jadilah Seorang Yang Pemurah

Daripada ‘Adi bin Hatim RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan bersedekah sebelah buah tamar.”

 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :

 

  1. Islam menggalakkan umatnya supaya suka bersedekah kerana ia akan mengeratkan hubungan silaturahim antara yang memberi dengan yang menerima.
  2. Orang yang suka bersedekah sama ada sedikit ataupun banyak akan menghindarkan dirinya daripada api neraka.
  3. Orang beriman digalakkan bersedekah walaupun dengan sesuatu yang amat sedikit (kerana tidak didapati yang lain) dan bersedekah itu akan menjadi perisai daripada api neraka.

 

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Memberi Pertolongan Kepada Kawan Dan Sahabat

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, pada suatu masa kami di dalam perjalanan, tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang menunggang binatang, lalu dia memandang ke kanan dan ke kiri. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mempunyai kenderaan lebih hendaklah diberikan kepada orang yang tidak ada kenderaan dan sesiapa yang mempunyai bekalan lebih diberikan kepada orang yang tidak ada mempunyai bekalan.” Seterusnya Baginda menyebut berbagai-bagai lagi harta yang patut dibelanjakan, sehinggalah kami semua faham dan sedar bahawa sesiapa pun di antara kami mempunyai harta yang banyak dan berlebihan daripada keperluan sendiri. Maka mereka tidak lagi berhak ke atas harta-harta tersebut.

 

(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith :
  1. Memberi bantuan kepada orang Islam yang perlu pertolongan sama ada semasa bermukim atau pun musafir dituntut oleh Islam supaya terlaksana kesamarataan antara muslimin.
  2. Islam tidak menentukan cara atau bentuk bantuan yang akan diberikan oleh seseorang kepada orang lain, asalkan bantuan itu dapat memberi faedah seperti menumpangkan kenderaan, memberi makanan, minuman dan lain-lain meliputi semua perkara yang diperlukan oleh seseorang yang berada di dalam keadaan kesusahan.
  3. Tolong-menolong tidak terbatas kepada makanan dan minuman malahan mencakupi semua keperluan hidup.

 

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Merendah Diri terhadap Orang-orang yang Beriman

Daripada Anas RA bahawasanya dia berjalan melintasi beberapa orang kanak-kanak lalu dia memberi salam kepada mereka dan katanya, Nabi SAW sentiasa berbuat demikian.

 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Huraian Hadith :
  1. Para sahabat sangat prihatin dalam mengikut sunnah Rasulullah SAW.
  2. Sunat memberi salam sesama Muslim tidak mengira darjat dan peringkat orang yang diberi salam.
  3. Memberi penghormatan kepada orang yang lebih rendah martabat dan pangkat tidak akan mengurangkan kemuliaan seseorang.

 

 

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin