Sikap Degil Dr Mahathir Antara Faktor Kegagalan Proton

TEMERLOH, 2 April (Bernama) — Sikap degil bekas pengerusi Proton Holdings Berhad (Proton), Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan antara punca kegagalan syarikat pengeluar kereta tempatan itu menjadi kompetitif dalam saingan industri automotif.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan sukar untuk memperbetulkan keadaan kewangan syarikat milik kerajaan itu kerana bekas perdana menteri itu enggan menerima pendapat orang lain.

“Sekiranya sesiapa dalam syarikat itu menawarkan idea yang berbeza dengan pandangannya (Dr Mahathir), maka orang itu akan menghadapi masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat UMNO Cawangan Kuala Krau, di sini hari ini.

Semasa di bawah Dr Mahathir juga, katanya, Proton telah melakukan beberapa urusniaga yang menyebabkan syarikat itu berada dalam keadaan terumbang ambing antaranya termasuk kerjasama dengan Group Lotus Plc.

Kelmarin, Dr Mahathir dikatakan telah meletakkan jawatan di empat badan berkaitan kerajaan iaitu Proton, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Pembangunan Tioman.

Proton dipengerusikan Dr Mahathir sejak diasaskan pada 7 Mei 1983.

Annuar berkata walaupun Proton menghadapi masalah kewangan yang serius namun Proton dilihat kebal serta terkongkong dengan idea dan kepercayaan Dr Mahathir.

Beliau berkata pada satu ketika dahulu, Proton pernah menguasai 70 peratus pasaran kereta tempatan dan kini tidak sampai 30 peratus.

“Ini bermakna Proton semasa di bawah Tun Dr Mahathir sebagai penasihat, bertahun-tahun menghadapi masalah kewangan yang besar, malah kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang sangat besar untuk memastikannya untuk terus beroperasi,” katanya.

Justeru, katanya, pengunduran Dr Mahathir dilihat sebagai peluang terbaik kerajaan untuk memulih dan menyelamatkan syarikat kereta nasional negara itu daripada terus mengalami kerugian.

Beliau berkata pengurusan Proton harus dibantu untuk mengurus syarikat itu secara profesional termasuk mengatur strategi baharu mengadakan perkongsian teknologi dengan syarikat automotif dari negara lain.

Dalam masa yang sama, katanya penjelasan tentang perkara ini juga harus diberikan kepada rakyat termasuk daripada pihak Proton sendiri untuk mengelakkan mereka salah faham dalam isu tersebut.
— BERNAMA

MB Pahang Saran Terokai Bidang Makanan Halal

 

 

SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar bidang makanan halal diterokai oleh pelabur kedua-dua Malaysia dan Republik Rakyat China khususnya dari Kuantan dan Qinzhou.

“… yang saya perhatikan, salah satu ialah bidang makanan halal; boleh kita terokai,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media Majlis Perasmian Seminar Pahang 2020 – ‘Invest Kuantan 2016’ sempena Program Bandaraya Persahabatan Kuantan-Qinzhou pagi Sabtu, 2 April di sini.

Sepertimana telah sedia maklum, Program Bandaraya Persahabatan Kuantan-Qinzhou merupakan program yang terhasil lanjutan kepada pengwujudan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Kawasan Perindustrian Gebeng, dekat sini.

MCKIP di Kawasan Perindustrian Gebeng pula ialah lanjutan atau ‘sister park’ kepada pengwujudan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) di Qinzhou, Republik Rakyat China.

MCKIP dilancarkan bersama oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dengan Pengerusi Persidangan Perundingan Rakyat, Republik Rakyat China, Encik Jia Qinglin pada Februari, 2013;

MENANDA TANGANI KENYATAAN BERSAMA… Demi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua Kuantan dan Qinzhou, khususnya menerusi pelancongan dan kebudayaan. 

 

TAMAN PERINDUSTRIAN MAKANAN HALAL DI QINZHOU

Manakala, CMQIP telah dilancarkan bersama oleh Dato’ Sri Molhd Najib dengan Perdana Menteri China ketika itu, Encik Wen Jia Bao, pada April, 2012.

“Saya difahamkan di Qinzhou, mereka boleh menambah-baik, ‘enhanced’ atau meningkatkan lagi (tahap) barang-barang ‘raw material’ kepada ‘finished products’ (yang boleh menyumbang kepada industri makanan halal tersebut),”kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Selari dengan saranan Menteri Besar ini, Timbalan Dato’ Bandar Qinzhou, Encik Han Liu yang turut hadir dan ditanya pada persidangan media sama, telah menyebutkan betapa di Qinzhou sendiri, Taman Perindustrian Makanan Halal sedang rancak dibangunkan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga berkata, pelancongan ialah satu lagi bidang ekonomi yang boleh diterokai dengan memperkenalkan program-program penggalakan pelancongan ke Kuantan juga ke Qinzhou.

Sementelah pula, Qinzhou yang terkenal dengan industri- tembikarnya, mudah dihubungi melalui penerbangan terus Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Naning, yang dari situ mengambil perjalanan darat cuma satu-setengah jam untuk tiba ke Qinzhou.

LAWATAN KE ‘BOOTH’ PAMERAN… 

 

TINGKAT KERJASAMA PELANCONGAN, KEBUDAYAAN

“Kita (sudah) ada penerbangan ke Nanning, (yang) dari Nanning ke Qinzhou ini naik kereta sejam setangah. Dekat daripada Kuala Lumpur ke Kuantan, Kuantan ke Kuala Lumpur. Macam Kuantan ke Bentong sahaja,” katanya.

 

Pada keseluruhannya kata Menteri Besar, Program Persahabatan Bandaraya Kuantan-Qinzhou diwujudkan bagi memperkukuhkan perhubungan antara kedua-duanya, yang dapat menjamin faedah bersama kepadanya.

Misalnya, kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato’ Fadzilla Salleh dengan Encik Han Liu sebentar tadi katanya, ialah untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pelancongan dan kebudayaan antara kedua-dua bandar berkenaan.

Selain mengenai Program Bandaraya Persahabatan Kuantan-Qinzhou, hal-hal lain bersangkutan negeri Pahang turut ditanya pada persidangan media yang sama, antaranya ialah mengenai kemarau yang dialami, kesan daripada El-Nino sekarang.

Dato’ Sri DiRaja Adnan ternyata bersimpati dengan apa yang terjadi termasuklah yang menyebabkan kerugian oleh penternak-penternak ikan dalam sangkar di pinggir Sungai Pahang dalam daerah-daerah Temerloh dan Pekan.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 25-MINITNYA… yang diucapkan dalam Bahasa Malaysia dan diterjemahkan ke Bahasa Mandarin bagi kefahaman tetamu kita dari Qinzhou. Antara intipatinya ialah singkapan sejarah silam tatkala wujud hubungan antara Negara China dengan Kesultanan Melayu Melaka; 

Sehinggalah hubungan diplomatik pertama terjalin antara Malaysia (yang pertama dalam kalangan negara-negara Asia ketika itu) di bawah Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dengan negara tersebut; yang diteruskan lagi di bawah kepimpinan anakandanya, Perdana Menteri sekarang, Dato’ Sri Mohd Najib. 

MINTA JABATAN PERIKANAN BUAT PENILAIAN

Sehubungan itu katanya, “Saya akan minta Jabatan Perikanan untuk buat ‘assessment’ kerugian pihak nelayan darat. Kalau tidak banyakpun, sedikit (bantuan) tanda simpati; kita hulurkan”.

Selain Dato’ Fadzilla; antara yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak;

Pengerusi, Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Dato’ Norul Azali Sulaiman; dan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga, Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Mohd Suhaimi Yunus.

PADA PERSIDANGAN MEDIA BERSAMA… Selain tentang program pagi Sabtu ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut sudi menjawab soalan-soalan berkaitan hal semasa khususnya mengenai kesan daripada kemarau yang negara dan negeri ini hadapi sekarang.

Sumber : Khabar Pahang

Sekitar Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan UMNO Bahagian Kuala Krau

2 April 2016 :

Semenjak 2:30 Petang kehadiran Ahli Umno Bahagian Kuala Krau bersolat hajat dan menunggu kehadiran YB Tan Sri Dato Sri Anuar Musa Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Bukan sekadar hadir tetapi bukti memberi sokongan mereka kepada pucuk pimpinan parti.

 

https://www.facebook.com/pusatkhidmat.dunkerdau/posts/996693580418251?pnref=story