Amalan Puasa Yang Sangat Di Muliakan

بسم الله الرحمن الرحيم

Ibadah puasa adalah satu amalan yang sangat dimuliakan oleh tuntutan agama kita. Rasulullah SAW menyatakan dalam sabda baginda :

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم : كل عمل ابن آدم له إلا الصيام فإنه لي وأنا أجزي به.
رواه البخاري ومسلم.

Dari Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda : Setiap amalan anak adam adalah untuknya kecuali puasa ianya untukku dan Aku yang memberi ganjaran dengannya.

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun, puasa itu terbahagi kepada beberapa bahagian . Dari sudut hukum syarak :

1⃣ Puasa yang diwajibkan :

👉🏼 Puasa Ramadhan .

Firman Allah SWT :
يأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام
“Wahai orang-orang  yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa”

👉🏼 Puasa orang yang menunaikan Haji Tamattu’ (التمتع) .
👉🏼 Puasa bagi orang yang memburu bagi hari hari yang diharamkan.
👉🏼 Puasa kafarah yang diwajibkan ketika melakukan kesalahan waktu haji.
👉🏼 Puasa Kafarah diat bagi orang yg membunuh tapi tidak mampu membayar diat maka dia harus berpuasa.
👉🏼 Puasa Kafarah bagi orang yang melanggar sumpahnya kerana tidak mampu memberi makan orang miskin atau membebaskan hamba. Puasanya sebanyak 3 hari berturut turut.
👉🏼 Puasa Kafarah orang yang melakukan zihar kerana tidak mampu membebaskan hamba. Puasa selama 2 bulan berturut-turut.
👉🏼 Puasa Nazar

2⃣ Puasa yang disunatkan (jika dilaksanakan dapat pahala, jika tidak dilaksanakan tidak mengapa)

👉🏼 Puasa Nabi Allah Daud berpuasa selang sehari.
👉🏼 Puasa bulan yang Allah haramkan seperti dalam hadis Abu Hurairah yg bertanya kepada baginda , puasa apakah yang paling afdhal setelah Ramadhan, dijawab baginda adalah berpuasa pada bulan yg di haramkan oleh Allah. Seumpama 10 hari Zulhijjah.
👉🏼 Puasa Hari Arafah bagi orang yg tidak menunaikan ibadah haji.
👉🏼 Puasa 10 hari terawal dalam bulan Muharram.
👉🏼 Puasa tiga hari putih (البيض) 14,15,16) setiap bulan Islam.
👉🏼 Puasa Asyura. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dari Ibn Qatadah, “Berpuasa pada hari Asyura merupakan penghapus dosa setahun sebelumnya”
👉🏼 Puasa Isnin dan Khamis .

3⃣ Terdapat juga puasa-puasa yang diharamkan oleh Allah dengan erti kata lain pada hari yang berkenaan tidak dibenarkan orang Islam melakukan ibadah puasa.

👉🏼 Puasa sepanjang tahun tidak berhenti henti.
👉🏼 Puasa di Hari Raya Pertama Aidiladha dan Aidilfitri.
👉🏼 Puasa sunat seorang isteri tanpa izin suami.
👉🏼 Puasa di 3 hari Tasyrik 11,12 dan 13 Zulhijjah.
👉🏼 Puasa di hari yang syak iaitu di akhir Sya’ban sebelum Ramadhan.
👉🏼 Puasa wanita dalam keadaan haid atau nifas.

4⃣ Terdapat juga hari hari yg dimakruhkan orang-orang Islam berpuasa. Jika dilakukan juga maka sia sialah ibadahnya.

👉🏼 Puasa kerana hari perayaan ataupun “nairuz” (hari yang dimuliakan orang-orang kafir dan perayaan orang Parsi satu ketika dahulu)
👉🏼 Puasa di hari Jumaat sahaja atau Sabtu sahaja kerana hari yang demikian mesti didahulukan dengan hari sebelumnya. Baru puasa itu diterima.
👉🏼 Puasa bakal haji di hari mereka wuquf di Arafah.
👉🏼 Puasa orang yang bermusafir sedang ia merasa letih dan sulit.
👉🏼 Puasa di hari Ahad semata-mata.
👉🏼 Puasa bersambung dua hari berturut-turut tanpa berbuka.

Itulah dia jenis-jenis puasa menurut hukum Islam. Semoga ia dapat menjadi panduan dan pengajaran.

Nukilan oleh:
Dato Sri Ustaz Syed Ibrahim bin Syed Ahmad.

Panduan Ibadah Korban

باسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
وبه نستعين والصلاة والسلام علي سيدنا محمد و علي آله وصحبه أجمعبثين

Hari Raya Aidil Adha adalah antara hari yang dimuliakan oleh Allah dengan ibadat. Antaranya Solat Aidiladha, Takbir, Tahmid dan Tahlil serta amalan korban. Amalan korban adalah sunnah zaman berzaman yang diamalkan para nabi-nabi Allah sehinggalah Nabi kita Muhammad SAW.

Korban bermaksud ibadah penyembelihan terhadap binatang ternakan demi mendekati Allah SWT yang dilaksanakan pada 10 ZulHijjah dan 3 Hari Tasyrik.

Terdapat 3 ikatan yang perlu diketahui bagi melaksanakan ibadah korban:

  1. Mestilah binatang ternakan seperti unta, biri-biri, lembu atau kerbau dan kambing.
  2. Mestilah dilaksanakan pada Hari Raya Haji atau 3 Hari Tasyrik.
  3. Niatnya kerana Allah semata-mata.
  • Dalil wajibnya korban ini sebagaimana firman Allah dalam Surah Al Kauthar Ayat 2 :

“فصل لربك وانحر”

Maksudnya : Maka bersembahyanglah (Sunat Hari Raya Adha) dan sembelihlah (berkorban) .

  • Firman Allah lagi dalam Surah AlHaj ayat 36 :

“والبدن جعلناها لكم من شعائر الله”

Maksudnya : Dan korban itu kami jadikan sebagai syiar (agama) Allah SWT .

  • Adapun dalil hadis :

عَنْ أَنَسٍ قَالَ :
ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Dari Anas berkata : Telah berkorban Rasulullah SAW dengan dua ekor biri-biri yang tegak dan bertanduk dua dengan tangan Baginda yang mulia, dengan kalimah Bismillah serta takbir sambil meletakkan kaki Baginda yang mulia keatas sembelihannya.

  • Kelebihan berkorban sangatlah mulia disisi Allah SWT. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

*وَعَنْ عَائِشَةَ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا* – قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :
مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ ، وَإِنَّهُ لَيُؤْتَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا ، وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ بِالْأَرْضِ ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا ) . *رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ ، وَابْنُ مَاجَهْ*.

Dari Aisyah RA berkata , telah bersabda Rasulullah SAW : Tidak ada amalan anak Adam itu yang dilakukan pada hari korban yang paling disenangi oleh Allah selain daripada menumpahkan darah . Sesungguhnya ia bakal datang di hari kiamat nanti dengan tanduknya dan kukunya . Dan sesungguhnya yang mengalir dari sembelihan telah mendapat tempat disisi Allab sebelum ia tumpah ke bumi. Maka perelokkanlah dengannya penyembelihan.

Riwayat Tarmizi dan Ibn Majah.

Ibadah korban hukumnya adalah Sunnat Muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Ia lebih mulia dari sedekah yang sunat. Ada juga yang bependapat ia adalah Sunat Kifayah.

👉🏼 Dimaksudkan dengan Sunat Kifayah iaitu memadai dilakukan oleh seseorang bagi pihak yang lainnya. Namun pahala hanya dikurniakan kepada yang melaksanakan .

👉🏼 Bilangan Sunat Kifayah ada 7 :

  1. Ketika azan
  2. Ketika bersin
  3. Ketika makan hendak dimulakan dengan Bismillah
  4. Ketika beri salam
  5. Ketika iqamat
  6. Ketika melaksanakan perkara sunat kepada mayat
  7. Ketika berkorban

👉🏼 Ia menjadi wajib kepada 4 perkara :

  1. Ketika bernazar . Seperti contoh “saya bernazar hendak berkorban” . Maka wajib hukumnya.
  2. Jika menetapkan. Seperti contoh “ini kerbau korban saya” . Maka wajib dia berkorban.
  3. Jika menjadikan . Seperti contoh “saya jadikan binatang ini sebagai binatang korban saya”.
  4. Jika berwasiat kepada seseorang untuk melaksanakan ibadah korban. Maka wajib orang yang berwasiat itu berkorban bagi pihaknya dan dia tidak boleh memakannya dan hendaklah dia bersedekah semua sekali.

Orang yang disunatkan melakukan ibadah korban ialah orang Islam, baligh , berakal serta bebas dan berkemampuan. Bahkan menurut Imam Syafie “tidak ada ruang kelonggaran bagi mereka yg mampu melaksanakannya”

👉🏼 Orang yang mampu iaitu siapa yang berupaya dan mempunyai keperluan hidup yang berlebih. Samada ketika Hari Raya atau Hari Tasyrik.
👉🏼 Kalau dilaksanakan oleh seorang daripada keluarga sedang bersamanya ada orang di bawah tanggungannya, maka gugurlah tuntutan keatas yang lain setelah dilaksanakan oleh ketua keluarga. Namun, mengikut Imam ArRamli , semua mereka mestilah melaksanakannya.

Permasalahan niat ketika melaksanakan ibadah korban:

  1. Bagi setiap korban itu harulah diniatkan dengan korban yg diinginkannya. Contoh korban biasa , mestilah dia niatkan dengan korban biasa. Sekiranya korban nazar , mestilah diniatkan dengan korban nazar.
  2. Disyaratkan niat nazar jika korban nazar .
  3. Boleh orang lain berniat bagi pihak yang berkorban, walaupun dia tidak menyembelih.
  4. Kalau dia wakilkan orang lain, dia sendiri boleh berniat , atau yang diwakilkan oleh dia juga boleh berniat .

Waktu Berkorban :

👉🏼 Ia bermula setelah Solat Aidiladha dan berkhutbah di hari raya yang pertama 10 Zulhijjah. Sebagaimana dalam Hadis Sohih Bukhari dan Muslim yang bermaksud “perkara yang kami mulakan di hari ini dengan bersembahyang kemudian kami pulang dan kami menyembelih binatang korban. Barangsiapa yang melakukan sedemikian, maka terlaksanalah sunnah kami bagi mereka. Orang yang menyembelih sebelumnya ialah sembelihan biasa, bukan ibadah korban”.
👉🏼 Ia tamat dengan tenggelamnya matahari pada hari ketiga Tasyrik iaitu 13 Zulhijjah . Maksudnya , jika mereka menyembelih sebelum 10 Zulhijjah atau selepas dari 13 Zulhijjah maka ia bukanlah ibadah korban.
👉🏼 Jika ia terlepas dari waktu yang ditetapkan , sedang ia korban wajib, maka wajib baginya Qada’ .
👉🏼 Yang afdhalnya dilaksanakan pada Hari Raya Korban dan lebih afdhal lagi diakhirkan ketika hampir tenggelamnya matahari , dengan kadar 2 rakaat sembahyang
👉🏼 Yang lebih afdhal lagi menyembelih dengan tangan sendiri atau sekurangnya diwakilkan, tapi dia hadir .

Seandainya binatang korban itu binasa disebabkan hilang atau mati , bukan dengan sengaja , maka tidak mengapa. Bahkan ia tetap menjadi simpanan pahala baginya.
Kalau binasa kerana kecuaian atau kesalahannya maka haruslah dia gantikannya.

Yang dimaksudkan dengan binatang ternakan sahaja yang dibenarkan untuk berkorban adalah unta, lembu dan kambing . Sebagaimana firman Allah SWT :

“ولكل أمة جعلنا من سكن ليذكروا اسم الله على مارزقهم من بهيمة الأنعام”

“Bagi setiap ummat itu kami jadikan ibadah utk menyebut nama Allah terhadap rezeki yang dikurniakan kepada mereka . Daripada binatang ternakan”

Surah Al Hajj , Ayat 34 .

  • Kambing / Biri-biri .
    👉🏼 Biri-biri “Dha’ni” yang berumur setahun atau 👉🏼Biri-biri “ma’iz” yang berumur 2 tahun.
    👉🏼Boleh juga dari anak unta walaupun setahun kerana ia sudah dianggap matang.
    👉🏼Biri-biri “dha’ni” lebih afdhal dari “ma’iz”.
    👉🏼Binatang yang jantan lebih baik dari betina. Kecuali jika jumlah yang jantan terlalu sedikit maka yang betina lebih afdhal.
    👉🏼Yang bertanduk lebih baik dari yang tak bertanduk.
    👉🏼Yang tidak mandul lebih baik dari yang mandul.
    👉🏼Yang warna putih lebih baik dari warna kuning.
    👉🏼Yang kuning lebih baik dari kelabu.
    👉🏼Yang kelabu lebih baik dari hitam.
    👉🏼Boleh dikorbankan untuk seorang.

 

  • Lembu/Kerbau.
    👉🏼Yang berumur 2 tahun boleh digunakan untuk 7 penama.

 

  • Unta.
    👉🏼Yang berumur 5 tahun dan boleh diguna untuk 7 penama.

HUKUM MEMAKAN BINATANG KORBAN

  • Jika korban wajib/nazar . Ia tidak boleh makan, mesti bagi kepada semua fakir miskin.
  • Jika korban sunat. Dia dibenarkan memakannya. Namun setelah ia agihkan kepada orang di sekelilingnya, barulah pahala korban itu sempurna.

👉🏼 Cara yang afdhal agihkannya ialah dipecahkan kepada 3 :

  1. Satu pertiga kepada fakir miskin.
  2. Satu pertiga lagi untuk kaum kerabat.
  3. Satu pertiga lagi dimakan oleh si pengkorban bersama keluarganya.

👉🏼 Yang paling afdhal adalah ia bersedekah ke seluruh daging korban itu dan hanya memakan sebahagian kecil sahaja untuk mengambil keberkatan korban.

👉🏼 Pengagihan itu mestilah daging yang bersih dan segar dan seeloknya bermasak. Tidak pula yang berbau dan keras.

👉🏼 Sembelihan yang afdhal ialah lembu/unta/ kambing yang sempurna. Tidak ada cacat cela dan kurus kering. Bertanduk. Tidak ada luka.

TIDAK BOLEH MENJUAL BINATANG KORBAN

Menjual hasil dari binatang korban samada daging, tulang, darah, kulit, bulu, kepala, tanduk dan kuku adalah haram. Kerana nabi bersabda :

من باع جلد أضحيته فلا أضحية له” رواه الحاكم 

“Barangsiapa yg menjual bahagian kulit dari korbannya maka tidak sahlah korbannya”

PERKARA DAN PERMASALAH YANG BERKAITAN DENGAN KORBAN

  1. Disunatkan orang yang hendak berkorban tidak memotong kukunya atau mencukur rambutnya dan bulu romanya bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga hari dia berkorban demi mencakupi anggotanya mendapat keampunan dan terselamat dari api neraka.
  2. Sunat bagi lelaki menyembelih sendiri dan bagi wanita sunat diwakilkan orang lain.
  3. Sunat bagi orang yang mewakilkan itu menyaksikan penyembelihannya kerana Rasulullah pernah mengarahkan puterinya Fatimah RA utk menyaksikan penyembelihan korbannya. Dengan sabda Baginda
    “Bangkitlah wahai Fatimah untuk menyaksikan korban engkau, kerana dari mulanya titisan darah sembelihan itu, bermulalah terampunnya dosa engkau yg lalu” Riwayat Hakim.
  4. Disunatkan bertakbir sebelum menyembelih
    “الله أكبر 3x , ولله الحمد”
  5. Disunatkan berdoa dengan doa
    “اللهم هذه منك وإليك فتقبلها مني كما تقبلتها من حبيبك محمد صلى الاه عليه وآله وسلم وخليلك إبراهيم عليه السلام ربنا تقبل منا إنك أنت السميع العليم وتب علينا إنك أنت التواب الرحيم” Ya Allah sesungguhnya korban ini dari Engkau, kepada Engkau, terimalah ia dariku. Sepertimana Engkau terima dari kekasihmu Muhammad SAW dan temanMu Ibrahim AS . Ya Allah terimalah dari kami sesungguhnya Engkau maha mendengar dan mengetahui. Kurniakanlah taubat bagi kami sesungguhnya Engkau penerima taubat dan penyayang.
  6. Ambillah untuk dimakan sedikit dari dagingnya sebagaimana firman Allah   “فكلوا منها وأطعموا الباءس الفقير”  Surah Alhajj ayat 28 , maksudnya: “Makanlah sedikit darinya dan berilah pada org susah dan faqir” . Disunatkan ambil bahagian hati atau bahagian dalam.
  7. Tidak boleh ambil upah menyembelih bagi binatang korban.

HUKUM HAKAM BAGI PERKARA YANG BERKAIT DENGAN MEMAKAN BINATANG KORBAN.

  1. Boleh meminum susu dari binatang korban tetapi makruh.
  2. Boleh makan anak binatang korban .
  3. Boleh memotong bulunya yang lebat dan jika perlu. Kalau tidak lebat tidak boleh. Adapun korban yang wajib, tidak boleh dipotong bulu kerana ia memberi manfaat kepada orang miskin ketika menyembelih.
  4. Boleh digunakan binatang korban ini jika tidak merosakkannya atau mengurangkan kualitinya.

Nukilan Dari Kitab:
At Taqrirat As Sadidah Min Masaail Mufidah

Karangan : 
Hassan Ahmad al Kaf.

Terjemahan :
Dato Sri Ustaz Syed Ibrahim bin Syed Ahmad.

Zulhijjah Bulan Ibadah

Sebenarnya Hari Arafah adalah hari diwaktu  Allah membuka ruang dan peluang bagi Hamba Nya, yang berkorban bersusah payah menyahut TalbiahNya melaksanakan Ibadah Haji. Maka Padang Arafah adalah sebagai saksi wajib untuk memperoleh kurniaan itu. Ketika disana mintalah apa sahaja dengan doa apa juga selagi ia mengembalikan kebaikan Ummah Muhammadiyah dan Agama Allah yg suci.

Sabda Rasulullah SAW;

عن عائشة رضي الله عنها قالت :
إن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ( ما مِن يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبداً من النار من يوم عرفة وإنه ليدنو ثم يباهي بهم الملائكة فيقول : ما أراد هؤلاء )
رواه مسلم

Dari Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW Bersabda : “Tiada hari yang Allah membebaskan ( senarai ) ahli neraka (dari azab api neraka) seperti dibebaskan (mereka yg berkehendak) di Hari Arafah. Pada hari berkenaan Allah bertajalli disisi Malaikat dengan penuh bangga seraya bertanya : “Apa sahaja yang mereka inginkan?”

Riwayat Muslim

Maka berdoalah dan bermohonlah sebanyak mungkin dengan doa yang baik-baik khasnya bagi mereka yang berada di bumi Arafah.
Namun bagi mereka yang tidak berpeluang berada disana boleh lah berpuasa seperti Sabda Rasulullah SAW :

عن أبي قتادة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم { صوم عاشوراء كفارة سنة ، وصوم يوم عرفةكفارة سنتين ، سنة قبلها ماضية وسنة بعدها مستقبلة }

Dari Abi Qatadah RA : Rasulullah SAW bersabda : “Berpuasa dihari Asyura terhapus dosa setahun dan berpuasa dihari Arafah terhapus dosa dua tahun. Setahun sebelum dan setahun selepasnya”.

Namun ada juga zikir dan doa yang masyhur dari Rasulullah SAW dan SalufulUmmah.

Seumpama Sabda Baginda SAW :

وعن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما :
أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ( خير الدعاء دعاء يوم عرفة ، وخير ما قلت أنا والنبيّون من قبلي : لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك ، وله الحمد ، وهو على كل شيء قدير )
رواه الترمذي

Dari Abdullah Bin Amru bin Al Ass RA : Rasulullah SAW Bersabda : ” Sebaik-baik Doa dihari Arafah adalah yang sebaik-baik yang pernah Aku ucapkan dan Para Nabi terdahulu ucapkan juga :

“لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك ، وله الحمد ، وهو على كل شيء قدير

Tiada Tuhan selain Allah semata yang tiada sekutu baginya. BagiNya jua, segala kekuasaan dan segala pujian dan Dia jua berkuasa terhadap sesuatu”.

Riwayat Tirmizi.

Berpuasalah pada Hari Wuquf  9 Zulhijjah yg di ijtihad oleh fatwa setempat. Tetapi kalau dapat berpuasa lebih elok atau afdhal bermula dari 1 Zulhijjah lagi.

Sabda Rasulullah SAW :

حفصة رضي الله عنها قالت: أربع لم يكن يدعهن رسول الله صلى الله عليه وسلم صيام يوم عاشوراء والعشر وثلاثة أيام من كل شهر والركعتين قبل الغداة.
رواه أحمد والنسائي وابن حبان وصححه

Dari Habsah RA menyatakan : “Adalah Rasulullah SAW tidak meninggalkan 4 hari untuk berpuasa Hari Asyura’, 10 hari Zulhijjah, 3 hari dalam sebulan serta 2 Rakaat sebelah pagi (Isryak/Dhuha)”.

Riwayat Ahmad. Nasaie Dan Ibnu Hibban serta disahihkannya.

Semua ini kerana Allah sendiri telah mendedahkan akan kemuliannya 1 hingga 9 Zulhijjah kerana hari itu dimuliakan Allah dengannya bersumpahNYA :

و الفجر وليال العشر والشفع والوتر

Sumpah pertama والفجر majoriti Mufassir menyatakan itu adalah Subuhnya Adha yang bakal berlakunya Nafas Ula bagi para haji dan bermalam di mina setelah mereka berwuquf di Arafah.

Sumpah kedua وليال العشر demi sepuluh malam terawal. Malam itu adalah malam-malam awal zulhijjah hingga awal Adha. Ia merupakan hari persiapan menjadi tetamu Allah di Arafah dan hari penurunan anugerah. Hari yang disebut Isteri Baginda SAW bahawa Baginda tidak mengabaikan puasa pada harinya.

Adapun sumpah ketiga والشفع Demi hari Syaf’ie iaitu hari Korban ( termasuk Hari Tasyrik yang 3 disunnahkan kita bertakbir dan bekorban). Seperti biasa yang dilaksanakan.

عن أبي بكر الصديق رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل: أيّ الأعمال أفضل.. قال: (العج والثج) رواه الترمذي وابن ماجه ومعنى (العج) رفع الصوت بالتلبية، و(الثج) نحر البدن

Dari Saiyyidina Abu Bakar RA bahawa Rasulullah SAW telah ditanyakan tentang amalan yang terbaik (Di Hari Raya Haji) Jelas Baginda SAW : “Al Ajj iaitu bertakbir secara lantang dan As Sajj iaitu menyembelih korban”.

Bukan sahaja persiapan korban dari binatang korban milik Si Pengkorban secara total sahaja seperti yang ditetapkan unta, biri-biri, lembu dan kambing, dengan umur yang sempurna. Ia mestilah tidak mempunyai cacat buta, tempang, kurus kering dan tidak cukup umur. Si Pengkorban juga mestilah memelihara adab sebelum, sedang dan selepas berkorban sebagaimana Sabda Nabi SAW :

عن أم سلمة رضي الله عنها
أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “إذا رأيتم هلال ذي الحجة”وفي لفظ: “إذا دخلت العشر وأراد أحدكم أن يضحي فليمسك عن شعره وأظفاره”.
رواه مسلم

Dari Ummu Salamah RA Sesungguhnya Rasulullah SAW Bersabda : “Jika kamu dimaklumkan anak bulan Zulhijjah telah kelihatan sedang kamu berhasrat untuk berkorban maka janganlah lagi kamu memotong rambut dan kuku kamu”.

Riwayat Muslim

Adapun sumpah keempat والوتر Demi Hari Al Witri ia adalah Hari Wuquf di Arafah. Bagi ahli wuquf maka pasti mendapat limpahan rahmat Allah berdoalah sebanyak mungkin. Terutama

لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك ، وله الحمد ، وهو على كل شيء قدير

Ia juga boleh diamalkan oleh mereka yang tidak berwuquf. Bahkan bagi yang tidak melakasanakan ibadah haji disunatkan berpuasa pada Hari Arafah. Faedahnya sangat besar :

عن أبي قتادة
أنّ النّبيّ صلّى اللّه عليه وسلّم قال:
(صيام يوم عرفة إنّي أحتسب على اللّه أن يكفّر السّنة الّتي قبله والسّنة الّتي بعده).

Dari Abi Qatadah RA : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Berpuasa dihari Arafah (Bagi yang tidak mengerjakan haji” disisi Allah adalah penghapus dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.

Kesemua hari-hari ini adalah Allah dedahkan Rahsia Kemuliaan dan hari Penganugerahan NYA Yang Maha Melimpah kepada hambaNya yang berkehendak secara umum.
Firman Allah SWT tentang masa dan penganugerahan ;

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ (190)
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ(191)
رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ (192)
سورة ال عمران

Sesungguhnya dijadikan langit Dan bumi berselisih ( WAKTU ) malam Dan siang sebagai tanda ( Anugerah ) bagi mereka Yang bijak ( mengambilnya ) . ( Terutama ) bagi mereka Yang mengingati Allah ( dengan zikir serta doa) ketika berdiri dan duduk serta berbaring. Serta berfikir tentang ciptaan Allah disamping menyatakan Maha Suci Engkau Ya Allah mencipta segala ini tidak sia-sia. Ya Allah selamatkan kami dari Neraka Mu. Ya Allah orang yang Engkau campakkan ke Neraka adalah orang yang telah Engkau sengsarakan mereka.

Surah al Imran ayat 190-192

Mari sama-sama mengambil anugerah dengan penuh insaf serta rasa tawadhuk kepada Allah.

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

Berlumbalah dalam melaksana kebaikan. Kamu semua bakal kembali kepada Allah dan kamu juga bakal didedahkan segala perselisihan antara kamu.