Fitnah

Fitnah

Ingat lah bahawa fitnah itu lebih tenat dari membunuh. Kalaupun perkara itu yang benar sekalipun harus kita cuba sedaya mungkin menutup keaiban seseorang dan ia memang diperintah oleh agama dan merupakan nilai mulia dalam hidup berperikemanusian. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis Riwayat Muslim :

مَنْ سَتَرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ فِي الدُّنْيَا سَتَرَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

 

Barangsiapa menutup (aib) saudara seagamanya nescaya Allah memelihara aibnya didunia dan diakhirat.

Jika benar ada keaiban yang berlaku maka masih dituntut untuk ditutupi dengan tujuan untuk tidak menelanjanginya. Ia bukan tujuan untuk membenarkan dan merestui kesalahan tetapi yang salah hanya perlu dihukum setimpal dengan perilakunya setelah didapati bersalah bukan diaibkan seperti yang berlaku akhir-akhir ini.

Bagaimana jika tiada berlaku keaiban atau belum pasti berlakunya kesalahan malah ianya masih duduk dalam tanda tanya dan pertikaian. Maka Tabaiyun adalah didikan yang telah difitrahkan Allah. Surah al hujurat ayat 6 Allah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

 

Wahai orang-orang yang beriman jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita maka hendaklah kamu teliti (terlebih awal) kerana dibimbangi menimpanya, sesuatu pihak dengan hukuman yang (kamu) dalam kejahilan sehingga dengan itu kamu bakal menyesal.

PAYAH

Tentunya nasihat seumpama ini menjadi sesuatu yang sukar untuk diaplikasi apatah lagi jika diselubungi dendam kesumat yang menebal. Pastinya tiada ketenangan akan diperolehi dari nasihat ini. Pepatah Islam ada menyatakan:

وَلَكِنَّ عَينَ السُخطِ تُبدي المَساوِيا

 

Pandangan benci itu menutup segala kebaikan (orang lain).

Tapi apakan daya atas didikan agama tetap kita pasti akan terus menyampaikan dengan nasihat. Sabda Rasulullah saw :

الدين النصيحة قيل: لمن يا رسول الله؟ قال: لله، ولكتابه، ولرسوله، ولأئمة المسلمين وعامتهم

 

Agama itu nasihat. Ditanya untuk siapa wahai Rasulullah SAW : Untuk Allah, Untuk KitabNya, Untuk RasulNya dan untuk para pemimpin dan seluruh mereka.

Memang menjadi sesuatu yang susah dalam hal ini namun kita tetap hanya perlu berkata benar dan membantu semua demi kebaikan sejagat. Bagi mereka yang bersalah kita perakui tetapi jangan diiklankan manakala yang benar kita katakan benar dan jangan sama sekali  persendakan.

KENAPA PERLU DIAIBKAN

Rumah siap pahat masih berbunyi. Itulah kata hikmat pusaka orang tua-tua kita. Dalam persoalan menyampaikan kebenaran ini kadangkala kita yang menulis ini akan dianggap berniat menonggak arus ataupun menyekat ombak dan badai. Namun atas dasar nasihat serta ingatan sesama ummah ianya mesti dilaksanakan. Menyedari hakikat bahawa PRU 14 sudahpun selesai dan rakyat telahpun membuat pilihan masing-masing maka  keputusan yang sudah pun dimuktamadkan itu perlu diterima oleh setiap apihak. Apa yang wajar pada ketika ini adalah kerja-kerja membangunkan negara serta kelangsungan hidup rakyat perlu dilaksanakan secara serius dan berfokus sebagaimana yang telah dibuktikan oleh kerajaan sebelum ini.

Namun apa yang membimbangkan ialah rakyat dipersembahkan dengan perkara-perkara tidak wajar yang tiada kepentingan kepada negara. Isu bekas Perdana Menteri  perlu ditangani penuh teliti dan tanpa diseret rakyat untuk sama-sama menjadi polis dan hakim. Rakyat perlu mengetahui isu dan cerita sebenar tetapi sempadan-sempadan dan nilai keagamaan juga perlu diambil kira. Janganlah pula menambah garam dan lada kerana ia hanya akan merosakan diri dan negara.

PENGAMATAN

Jika sekalipun Dato Sri Najib Tun Abdul Razak bersalah, adalah harus pengaiban keatas dirinya dielakkan. Bukankah itu bercangah dengan semangat kemanusiaan itu sendiri. Apatah lagi didikan agama kita Islam yang sangat menegah dan melarangnya. Allah menegaskan dalam surah al hujurat ayat 12 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

 

Wahai orang-orang Yang beriman elakanlah dari bersangka serong, sebahagian dari sangkaan itu (Salah) berdosa. Janganlah kamu mencari-cari (keaiban) orang lain. Jangan kamu mencaci (dengan keburukan) terhadap sesama kamu. Adakah kamu suka memakan bangkai saudara kamu sendiri. Bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat dan Maha Penyayang.

Kita hanya perlu menyerahkan kepada pihak berwajib dan badan kehakiman. Mereka mesti bertanggunjawab sepenuhnya berasaskan ketelusan, bukti, saksi dan landasan hukum yang benar. Ini bukan sahaja dapat menyelesaikan isu dengan saksama tetapi juga mampu menzahirkan keberkatan dalam pemerintahan dan hubungan sesama manusia.

Bagaimana pula jika Dato Sri Najib tidak bersalah. Maka segala lontaran dan kecaman itu pula menjadi sebuah fitnah dan ia adalah sangat-sangat ditegah dalam agama kita. Allah menegaskan dalam ayat 191 surah al Baqarah :

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ ۚ
Dan Fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh.

Dari fitnah kita berdosa. Darinya juga kita menyakitkan mangsa. Darinya juga kita mengelirukan masyarakat. Darinya juga menunjukkan penghukuman tanpa hak tetapi dipengaruhi oleh situasi tekanan emosi. Darinya juga kita memungkinkan pembunuhan.

 

WALIYAZUBILLAH

Pendek kata terhimpun didalam fitnah itu bermacam keburukan serta akibat negatif kepada Agama dan orang ramai.

Adalah benar bahawa kita boleh menyiasat dan meneliti sebarang kes yang didakwa pada bila masa dan waktu jika terdapat arahan berkenaan.Namun kita pula tidak boleh terus mendedah sebelum pihak kehakiman membicara dan menyatakannya.

Apatah lagi jika perkara yang disiasat tertumbuh padanya keraguan dan belum ada pengesahan. Tindak tanduk penyiasatan yang terburu-buru dan kelihatan bermuslihat hanya akan membangkitkan kekhuatiran rakyat kepada prinsip keadilan dalam undang-undang. Pada akhirnya apa yang dapat dilihat ialah persoalan kepada kredibiliti pihak berkuasa yang seolah-olah didorong bertindak secara rapuh. Kaedah ada menyebut :

الدليل اذا تطرق به الإحتمال سقط به الإستدلال.

 

Sesuatu dalil atau bukti bila tersentuh padanya kebarangkalian maka gugur padanya berhujah.

Bersihkanlah diri kita dahulu dari kesilapan dalam bertindak. Jangan kita diaibkan oleh diri kita sendiri atas kesilapan.

 

DIRINYA BERSAKSI

Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 6 :

وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّنْ أَهْلِهَا

 

Dan telah bersaksilah dikalangan mereka sendiri.

Banyak dari kenyataan yang dibuat oleh kepimpinan terbaru dalam Kerajaan PH yang menyatakan ada kebenaran dan keberhasilan dalam usaha yang telah dijalankan oleh Dato Sri Mohd Najib. Isu-isu yang dipertikai secara umum sebelum ini oleh PH  berkait ekonomi kerapkali menyebut kegagalan kerajaan terdahulu sehingga negara hampir muflis dan bankrap. Namun kenyataan terkini mereka memperakui ekonomi negara dalam keadaan teguh. BR1M sebagai usaha murni Dato Sri Najib untuk sedaya mungkin meringankan beban rakyat, dulunya dianggap dedak kini diterima  PH yang juga berminat meneruskannya kecuali jika ego mereka mengatasi kembali pertimbangan mereka mungkin dihapuskan wallahu’alam. Isu percukaian pun masih dalam pertimbangan diantara GST dan SST. Walau apa pun pilihan sistem cukai nanti, apa yang pasti dan penting ialah ia adalah cukai yang bakal dikutip kepada kumpulan yang telah dikenal pasti. Amat jelas sekali pelbagai dasar dan projek yang telah dilaksanakan terpaksa diperakui kebaikan dan bercadang meneruskannya. Tahniah Dato Sri Mohd Najib yang telah membawa idea positif sehingga lawan pun memperakuinya.

RAMADHAN BULAN IBADAH

Apa-apapun isunya marilah kita serahkan kepada pihak berkenaan. Pertama sekali YABhg YB Dato Sri Mohd Najib seorang yang berjiwa besar. Beliau telahmenerima keputusan PRU dengan hati terbuka malah sanggup melepaskan jawatan parti kepada generasi seterusnya bagi memberi laluan kepada muka baru. Beliau tidak bekeras dengan tindakan pihak berkuasa dengan memberontak serta bangkit dijalanan walaupun pemimpin-pemimpin dahulu melakukan perkara demikian. Bahkan yang lebih manis beliau tidak pernah mengambil tidakan menangkap dan menghukum sehingga berkali-kali rusuhan jalanan diadakan sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Kepada Pihak Penguatkuasa, jalankanlah siasatan jika benar ada dakwaan. Namun ikutilah lunas kemanusiaan dan fitrah keagamaan agar hasil kerja diberkati. Tiada keperluan untuk membuat pendedahan awal oleh kita sebagai penyiasat kecuali pihak hakiman telah mensabitkan kesalahan dan menghukum.

Kepada pihak juga mohon media berhati-hati ketika menyampaikan perkhabaran. Semua perkataan ada nilai disisi Rakib dan Atib. Allah tegaskan dalam surah Qaff ayat 18 :

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Tidak ada yang terlafaz dari perkataan melainkan disana ada pencatat iaitu Rakib dan Atib.

Mungkin kita percaya dengan ingatan ini. Maka elok kita pelihara demi kebaikan kita. Mungkin juga ada yang ambil sambil lewa atau langsung tidak percaya maka pasti akibat yang lebih buruk dari sekarang bakal menimpa semua. Kerana bencana bila mendatang ia tidak memilih siapa.

Percaya yang benar itu tetap juga benar tidak dapat ditutup dengan wang ringgit serta kuasa. Yang salah tidak akan terpadam walaupun senegara manusia menghapuskannya.

Peliharalah Ramadhan kita dengan Ibadah serta amalan Redha disisi Allah.

KOMEN DI FACEBOOK

3124total visits,8visits today

1 thought on “Fitnah

  1. Terima kasih ustaz ibra.
    Berdosanya kita..
    Membuat fitnah
    Mendengar fitnah
    Menyebar fitnah
    Mempercayai fitnah
    Membenarkan fitnah
    Semoga Allah menjauhkan kita dari segala fitnah alam dan fitnah dajjal.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.