Fitnah

Ingat lah bahawa fitnah itu lebih tenat dari membunuh. Kalaupun perkara itu yang benar sekalipun harus kita cuba sedaya mungkin menutup keaiban seseorang dan ia memang diperintah oleh agama dan merupakan nilai mulia dalam hidup berperikemanusian. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis Riwayat Muslim :

مَنْ سَتَرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ فِي الدُّنْيَا سَتَرَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

 

Barangsiapa menutup (aib) saudara seagamanya nescaya Allah memelihara aibnya didunia dan diakhirat.

Jika benar ada keaiban yang berlaku maka masih dituntut untuk ditutupi dengan tujuan untuk tidak menelanjanginya. Ia bukan tujuan untuk membenarkan dan merestui kesalahan tetapi yang salah hanya perlu dihukum setimpal dengan perilakunya setelah didapati bersalah bukan diaibkan seperti yang berlaku akhir-akhir ini.

Bagaimana jika tiada berlaku keaiban atau belum pasti berlakunya kesalahan malah ianya masih duduk dalam tanda tanya dan pertikaian. Maka Tabaiyun adalah didikan yang telah difitrahkan Allah. Surah al hujurat ayat 6 Allah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

 

Wahai orang-orang yang beriman jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita maka hendaklah kamu teliti (terlebih awal) kerana dibimbangi menimpanya, sesuatu pihak dengan hukuman yang (kamu) dalam kejahilan sehingga dengan itu kamu bakal menyesal.

PAYAH

Tentunya nasihat seumpama ini menjadi sesuatu yang sukar untuk diaplikasi apatah lagi jika diselubungi dendam kesumat yang menebal. Pastinya tiada ketenangan akan diperolehi dari nasihat ini. Pepatah Islam ada menyatakan:

وَلَكِنَّ عَينَ السُخطِ تُبدي المَساوِيا

 

Pandangan benci itu menutup segala kebaikan (orang lain).

Tapi apakan daya atas didikan agama tetap kita pasti akan terus menyampaikan dengan nasihat. Sabda Rasulullah saw :

الدين النصيحة قيل: لمن يا رسول الله؟ قال: لله، ولكتابه، ولرسوله، ولأئمة المسلمين وعامتهم

 

Agama itu nasihat. Ditanya untuk siapa wahai Rasulullah SAW : Untuk Allah, Untuk KitabNya, Untuk RasulNya dan untuk para pemimpin dan seluruh mereka.

Memang menjadi sesuatu yang susah dalam hal ini namun kita tetap hanya perlu berkata benar dan membantu semua demi kebaikan sejagat. Bagi mereka yang bersalah kita perakui tetapi jangan diiklankan manakala yang benar kita katakan benar dan jangan sama sekali  persendakan.

KENAPA PERLU DIAIBKAN

Rumah siap pahat masih berbunyi. Itulah kata hikmat pusaka orang tua-tua kita. Dalam persoalan menyampaikan kebenaran ini kadangkala kita yang menulis ini akan dianggap berniat menonggak arus ataupun menyekat ombak dan badai. Namun atas dasar nasihat serta ingatan sesama ummah ianya mesti dilaksanakan. Menyedari hakikat bahawa PRU 14 sudahpun selesai dan rakyat telahpun membuat pilihan masing-masing maka  keputusan yang sudah pun dimuktamadkan itu perlu diterima oleh setiap apihak. Apa yang wajar pada ketika ini adalah kerja-kerja membangunkan negara serta kelangsungan hidup rakyat perlu dilaksanakan secara serius dan berfokus sebagaimana yang telah dibuktikan oleh kerajaan sebelum ini.

Namun apa yang membimbangkan ialah rakyat dipersembahkan dengan perkara-perkara tidak wajar yang tiada kepentingan kepada negara. Isu bekas Perdana Menteri  perlu ditangani penuh teliti dan tanpa diseret rakyat untuk sama-sama menjadi polis dan hakim. Rakyat perlu mengetahui isu dan cerita sebenar tetapi sempadan-sempadan dan nilai keagamaan juga perlu diambil kira. Janganlah pula menambah garam dan lada kerana ia hanya akan merosakan diri dan negara.

PENGAMATAN

Jika sekalipun Dato Sri Najib Tun Abdul Razak bersalah, adalah harus pengaiban keatas dirinya dielakkan. Bukankah itu bercangah dengan semangat kemanusiaan itu sendiri. Apatah lagi didikan agama kita Islam yang sangat menegah dan melarangnya. Allah menegaskan dalam surah al hujurat ayat 12 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

 

Wahai orang-orang Yang beriman elakanlah dari bersangka serong, sebahagian dari sangkaan itu (Salah) berdosa. Janganlah kamu mencari-cari (keaiban) orang lain. Jangan kamu mencaci (dengan keburukan) terhadap sesama kamu. Adakah kamu suka memakan bangkai saudara kamu sendiri. Bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat dan Maha Penyayang.

Kita hanya perlu menyerahkan kepada pihak berwajib dan badan kehakiman. Mereka mesti bertanggunjawab sepenuhnya berasaskan ketelusan, bukti, saksi dan landasan hukum yang benar. Ini bukan sahaja dapat menyelesaikan isu dengan saksama tetapi juga mampu menzahirkan keberkatan dalam pemerintahan dan hubungan sesama manusia.

Bagaimana pula jika Dato Sri Najib tidak bersalah. Maka segala lontaran dan kecaman itu pula menjadi sebuah fitnah dan ia adalah sangat-sangat ditegah dalam agama kita. Allah menegaskan dalam ayat 191 surah al Baqarah :

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ ۚ
Dan Fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh.

Dari fitnah kita berdosa. Darinya juga kita menyakitkan mangsa. Darinya juga kita mengelirukan masyarakat. Darinya juga menunjukkan penghukuman tanpa hak tetapi dipengaruhi oleh situasi tekanan emosi. Darinya juga kita memungkinkan pembunuhan.

 

WALIYAZUBILLAH

Pendek kata terhimpun didalam fitnah itu bermacam keburukan serta akibat negatif kepada Agama dan orang ramai.

Adalah benar bahawa kita boleh menyiasat dan meneliti sebarang kes yang didakwa pada bila masa dan waktu jika terdapat arahan berkenaan.Namun kita pula tidak boleh terus mendedah sebelum pihak kehakiman membicara dan menyatakannya.

Apatah lagi jika perkara yang disiasat tertumbuh padanya keraguan dan belum ada pengesahan. Tindak tanduk penyiasatan yang terburu-buru dan kelihatan bermuslihat hanya akan membangkitkan kekhuatiran rakyat kepada prinsip keadilan dalam undang-undang. Pada akhirnya apa yang dapat dilihat ialah persoalan kepada kredibiliti pihak berkuasa yang seolah-olah didorong bertindak secara rapuh. Kaedah ada menyebut :

الدليل اذا تطرق به الإحتمال سقط به الإستدلال.

 

Sesuatu dalil atau bukti bila tersentuh padanya kebarangkalian maka gugur padanya berhujah.

Bersihkanlah diri kita dahulu dari kesilapan dalam bertindak. Jangan kita diaibkan oleh diri kita sendiri atas kesilapan.

 

DIRINYA BERSAKSI

Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 6 :

وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّنْ أَهْلِهَا

 

Dan telah bersaksilah dikalangan mereka sendiri.

Banyak dari kenyataan yang dibuat oleh kepimpinan terbaru dalam Kerajaan PH yang menyatakan ada kebenaran dan keberhasilan dalam usaha yang telah dijalankan oleh Dato Sri Mohd Najib. Isu-isu yang dipertikai secara umum sebelum ini oleh PH  berkait ekonomi kerapkali menyebut kegagalan kerajaan terdahulu sehingga negara hampir muflis dan bankrap. Namun kenyataan terkini mereka memperakui ekonomi negara dalam keadaan teguh. BR1M sebagai usaha murni Dato Sri Najib untuk sedaya mungkin meringankan beban rakyat, dulunya dianggap dedak kini diterima  PH yang juga berminat meneruskannya kecuali jika ego mereka mengatasi kembali pertimbangan mereka mungkin dihapuskan wallahu’alam. Isu percukaian pun masih dalam pertimbangan diantara GST dan SST. Walau apa pun pilihan sistem cukai nanti, apa yang pasti dan penting ialah ia adalah cukai yang bakal dikutip kepada kumpulan yang telah dikenal pasti. Amat jelas sekali pelbagai dasar dan projek yang telah dilaksanakan terpaksa diperakui kebaikan dan bercadang meneruskannya. Tahniah Dato Sri Mohd Najib yang telah membawa idea positif sehingga lawan pun memperakuinya.

RAMADHAN BULAN IBADAH

Apa-apapun isunya marilah kita serahkan kepada pihak berkenaan. Pertama sekali YABhg YB Dato Sri Mohd Najib seorang yang berjiwa besar. Beliau telahmenerima keputusan PRU dengan hati terbuka malah sanggup melepaskan jawatan parti kepada generasi seterusnya bagi memberi laluan kepada muka baru. Beliau tidak bekeras dengan tindakan pihak berkuasa dengan memberontak serta bangkit dijalanan walaupun pemimpin-pemimpin dahulu melakukan perkara demikian. Bahkan yang lebih manis beliau tidak pernah mengambil tidakan menangkap dan menghukum sehingga berkali-kali rusuhan jalanan diadakan sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Kepada Pihak Penguatkuasa, jalankanlah siasatan jika benar ada dakwaan. Namun ikutilah lunas kemanusiaan dan fitrah keagamaan agar hasil kerja diberkati. Tiada keperluan untuk membuat pendedahan awal oleh kita sebagai penyiasat kecuali pihak hakiman telah mensabitkan kesalahan dan menghukum.

Kepada pihak juga mohon media berhati-hati ketika menyampaikan perkhabaran. Semua perkataan ada nilai disisi Rakib dan Atib. Allah tegaskan dalam surah Qaff ayat 18 :

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Tidak ada yang terlafaz dari perkataan melainkan disana ada pencatat iaitu Rakib dan Atib.

Mungkin kita percaya dengan ingatan ini. Maka elok kita pelihara demi kebaikan kita. Mungkin juga ada yang ambil sambil lewa atau langsung tidak percaya maka pasti akibat yang lebih buruk dari sekarang bakal menimpa semua. Kerana bencana bila mendatang ia tidak memilih siapa.

Percaya yang benar itu tetap juga benar tidak dapat ditutup dengan wang ringgit serta kuasa. Yang salah tidak akan terpadam walaupun senegara manusia menghapuskannya.

Peliharalah Ramadhan kita dengan Ibadah serta amalan Redha disisi Allah.

Bila Lantik Menteri Besar

 

Sememangnya persoalan ini menjadi sebutan dan meriah dalam tempoh terdekat ini bukan hanya didalam negeri Pahang ini bahkan di seluruh negara kesan dari PRU 14.

Sebenarnya sebaik-baik kerja pertengahan ialah tidak dalam keadaan gopoh dan tidaklah pulak terlalu lewat.

Sabda Nabi SAW :

التأني من الله و العجلة من الشيطان

“Berurus secara berhemah dari Allah. Berurus secara gopoh pula dari Syaitan.”

Perlantikan pemimpin sememangnya sebuah kewajiban yang mesti disegerakan malahan ianya tidak boleh dilengahkan dan ditangguh. Namun dalam konteks negeri Pahang ,pengambilan masa yang sedikit lama dalam persoalan perlantikan Menteri Besar dalam tempoh terdekat ini bukanlah ia sebuah kelewatan yang mendesak kerana proses tersebut masih dalam tempoh yang dibenarkan. Amat jelas juga perlu disedari bahawa kerajaan sementara masih berfungsi sedang ia juga masih dari pihak yang mendapat mandat di PRU.

Angkat Sumpah atau Baiah ini juga diperlukan jika fitnah kecelaruan membelenggu kepimpinan dan rakyat. Walaupun begitu adalah penting dan utama untuk dipastikan bahawa kelangsungan yang terkawal serta perlantikan yang tepat dan mengambil kira aspek yang terbaik harus dipastikan terlaksana.

SIAPA MB PAHANG

Ketika terlantiknya Saiyidina Abu Bakar RA sebagai Khalifah selaku ketua negara sememangnya mengubat banyak situasi. Ia berikutan kejutan besar keatas umat Islam pada ketika itu diatas pemergian Junjungan Mulia SAW. yang sangat sukar diterima oleh segenap lapisan masyarakat Islam ketika itu.. Kejutan ini mendorong tekanan dalam jiwa Sahabat-sahabat pembesar termasuk Saiyidina Omar RA dan lain-lain. Keadaan ini sudah pasti dirasakan akan menyukarkan usaha kerajaan untuk membina semula.
Kerumitan pada ketika itu juga ditambah dengan desakan Ahli Madinah Ansar dan disanggah pula oleh golongan Muhajirin. Pertelagahan ini memerlukan satu tokoh yang benar mampu bertangungjawab disamping dihormati serta mempunyai tempat samada disisi pembesar-pembesar negara dan tokoh-tokoh tempatan samada kawan ataupun lawan.

Oleh sebab itu, tokoh yang sememang mendapat tempat dijiwa ramai adalah diantara 10 sahabat yang beroleh khabar gembira sebagai penghuni syurga. Walaubagaimanapun pemilihan mereka perlu menyerlahkan tokoh yang terbaik bukan sekadar disudut keislaman, pergaulan, pengurusan, kesungguhan dalam membela agama bahkan faktor usia dan pengalaman menjadi pengukur aras utama.

Maka pada ketika itu Saiyidina Abu Bakar RA menjadi pilihan. Kriteria Baginda RA sebagai seorang yang pertama memeluk Islam, disusuli pula ia sebagai sahabat yang paling rapat dan berjasa kepada agama dan Nabi SAW. Ia juga diperkuatkan lagi dengan usia Baginda RA yang sangat matang dan lebih berusia jika dibandingkan dengan sahabta-sahabat yang lain. Baginda RA juga amat berpengalaman dalam pengurusan.

Akhirnya, hasil dari pertimbangan teliti dan rapi ini kerajaan telah berjaya dibentuk dan dipulih kembali walaupun dunia Islam digegar dengan banyak isu besar seperti kewafatan Baginda, isu kemurtadan, keengganan sekelompok masyarakat dalam hal pembayaran zakat dan juga turut hampir berlaku pemberontakan.

Rasional inilah kita perlu pertimbang jika ingin memilih siapa yang layak menjadi ketua negeri di Pahang Darul Makmur. Kewajaran ini juga harus kita ambil kira tanpa prejudis dengan menafikan pembangunan yang telah kita kecapi di Pahang Darul Makmur.
Sebaik sahaja selesai PRU 14 dan telah memberi keputusan yang menyebelahi Pakatan Harapan telah mendorong Pahang membuat sebuah keputusan yang bijak dalam memilih kepimpinan. Pendekatan dalam pemilihan kepimpinan Pahang pasca Pru14 jelas sekali tidak didesak oleh tekanan provokasi atau sentimen emosi. Malah ia amat jelas berlandaskan kepada sebuah keterbukaan dan pengorbanan yang ingin memastikan pemeliharaan kepentingan pelbagai sudut.

Apabila tertubuh sebuah Kerajaan ia memerlukan pembinaan diplomatik yang bijak dan mampu mencari persefahaman dan mengelak kewujudan titik perbezaan serta pertelingkahan.

Tahap Hubungan pertama antara pemimpin dan orang ramai perlu diurus dengan betul dan tersusun agar mampu mendekatkan orang ramai dan pemimpin disamping memiliki jalan yang praktikal untuk mengatasi sebarang permasalahan.

Tahap Hubungan Kedua di antara kawan dan lawan perlu meneladani Baginda SAW dengan baik sekali sehingga berjaya meminimakan jumlah lawan dengan kaedah diplomasi Tauladan Peribadi dan ternyata kaedah dan cara ini sangat berkesan.

Tahap Hubungan Ketiga iaitu hubungan diplomasi dengan dunia luar juga sangat diperlukan. Namun diperingkat awal ini kita sangat perlu mengutamakan hubungan pertama dan kedua.

Maka hal ini sudah pasti perlu kepada jawapan yang rasional dan tidak sama sekali didasari oleh emosi yang didorong oleh sangkaan dan telahan.

LONG NAN MB DULU

Adalah benar Long Nan MB yang telah berkhidmat dalam tempoh penggal yang sudah lama. Namun perlu kita jelas bahawa prestasi baik dalam memacu PRU 14 dan sebelumnya merupakan satu faktor perlu kita dasari untuk meminta beliau menerajui negeri Pahang. Amat nyata sekali bahawa beliau banyak memberi perhatian dalam soal kebajikan rakyat Pahang samada memperkenalkan dana bagi tujuan pembasmian kemiskinan serta meningkatkan kadar bantuan dan peruntukan kepada JKM dan pihak yang berkenaan.

Dalam aspek pendidikan pula melalui Yayasan Pahang tumpuan yang jelas dalam meningkatkan pencapaian pendidikan rakyat Pahang melalui bantuan pendidikan kepada setiap peringkat pendidikan melalui BSR, BSM serta pelbagai geran IPTA yang sebelum ini tiada satu negeri pun melaksanakan dan akhirnya menjadi tauladan kepada banyak negeri.

Beliau sentiasa bersedia merungkai isu satu persatu tanpa mengira resolusi datang dari pihak mana selagi ia memberi faedah kepada rakyat dan negeri maka beliau akan usaha bersama. Mengambil contoh dalam isu alam sekitar dan air dimana semua pihak dipanggil berbincang untuk menegur dan memberi pandangan dan tindakan tersebut bagaikan menarik rambut didalam tepung.

Pembangunan Perumahan boleh dikatakan Pahang menjadi perintis apabila menjadi antara salah satu negeri awal di Malaysia mengambil tindakan proaktif dalam soal ini dengan memperkenalkan PR1MA Pahang yang telah memberi manfaat kepada rakyat di negeri Pahang yang memerlukan.Namun bak kata kaedah Fekah : “Benda yang tidak dibuat semua tidaklah pula ditinggalkan semua”.

Memang benar banyak lagi perlu diperkasakan diPahang. Pembangun ekonomi samada sumber pendapatan dan pembangunan disamping memelihara Negeri sebaik mungkin. Ini sebenarnya berjalan seiring melalui agensi yang telah dibina Kerajaan Negeri samada PKPP, PKNP, PASDEC dan lainnya selain dari Perbadanan Setiausaha Kerajaan.

Aset pendidikan juga sudah diperkasakan. Terbina Maahad Tahfiz yang sentiasa terkehadapan dalam penguasaan natijah bahkan mampu menzahirkan modal insan yang memberi pulangan positif kepada Negeri. Begitu juga Kipsas yang akhirnya diitiraf sebagai KUIPSAS. Ini adalah dua mercu tanda pendidikan yang sangat berkesan dinegeri Pahang.

Bagaimana Jika Long Nan Menolak

Nasihat agama itu jelas :

Amanah jangan dicari dan diminta diminta.

Rasulullah saw bersabda :

إنا لا نولّي هذا مَنْ سأله ، ولا من حرص عليه

“Kami tidak memberi jawatan ini kepada yang meminta-mintanya, tidak juga kepada yang teringin sangat. “

Bahkan wajar sujud syukur jika tidak dipilih untuk beramanah.

Tetapi tidak wajar pula menolaknya jika diminta untuk beramanah bahkan wajar bersabar apabila diminta melaksanakan. Jika tidak ia juga bakal dipersoal.
Sabda Rasulullah SAW :

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته.

“Kamu semua Pemimpin dan kamu semua akan dipersoal soal kepimpinan kamu. “

Sehubungan itu kita sebagai pencinta agama wajar bermuhasabah dan tanpa tergopoh –gopoh memberi analisa. Tidak juga terlalu mendiam diri sehingga keadaan menjadi kusut. Kesabaran juga membawa keberkatan. Kerakusan akan hanya membawa kehancuran.