MOU Dan Perjanjian Sempadan Pahang Dan Selangor


GRAND BALLROOM, HOTEL CONCORDE, SHAH ALAM – Kedua-dua Menteri Besar Pahang dan Selangor hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan antara kedua-dua negeri petang Jumaat, 9 Mac di sini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan mengetuai delegasi Pahang manakala rakan sejawatnya, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Selangor – masing-masing terdiri daripada Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Yang turut hadir ialah kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail dari Pahang, dan Dato’ Mohd Amin Ahya dari Selangor; selain daripada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Dato’ Sr Mohd Nor Isa.

Sebelum itu, ketibaan Dato’ Sri DiRaja Adnan disambut oleh Dato’ Sri Mohamed Azmin di lobi hotel sebelum ke Tingkat 1 bagi mengadakan perbincangan tertutup bagi memuktamadkan perjanjian di sebuah bilik berdepanan Dewan ini.

Ini disusuli sesi fotografi berkumpulan sebelum Dato’ Sri DiRaja Adnan yang diiringi Dato’ Sri Mohamed Azmin, memasuki Dewan untuk menyempurnakan majlis petang Jumaat ini.

MoU TAHUN 1994

Dalam ucapan luar teks 14 1/2-minitnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan antara lain menyebut tentang asas penentuan sempadan antara kedua-dua negeri tersebut yang menurutnya, bersandarkan kepada;

Pertukaran surat-menyurat antara Setiausaha Residen Pahang dan Setiausaha Residen Selangor antara tahun 1927 dan 1929, dan Warta Persekutuan No 112 dan No 3199 pada 14 Januari 1911 dengan kedudukan legeh utama sebagai panduan.

“Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan antara negeri Pahang dan Selangor pada hari ini, maka jarak jajaran sempadan Pahang-Selangor adalah sepanjang 99.5 km,” katanya.

Pada 11 Julai 1994 kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, dua (2) MoU telah ditandantangani oleh Menteri Besar bagi kedua-dua negeri tersebut ketika itu, yang telah diadakan di Awana Golf & Country Resorts, Genting Highlands.

MoU berkenaan menurutnya, melibatkan tiga (3) kawasan iaitu; Kawasan A – dari titik sempadan tiga (3) negeri Selangor-Pahang-Negeri Sembilan, ke Genting Sempah, dengan jarak 22.6 KM.

PENGHARGAAN BUAT JAWATANKUASA-JAWATANKUASA BERKENAAN

Kawasan B – dari Bukit Fraser ke titik sempadan tiga (3) negeri Selangor-Pahang-Perak, dengan jarak 16.5 KM, dan, Kawasan C – dari Bukit Fraser ke Genting Sempah, dengan jarak 60.4 KM.

Beliau seterusnya menyatakan penghargaan Kerajaan Negeri kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang terlibat dengan projek penandaan dan pengukuran sempadan bersama antara negeri-negeri yang meliputi tiga (3) iaitu;

Jawatankuasa Teknikal Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JBT) yang dipengerusikan oleh Pengarah Tanah Galian Negeri; Jawatankuasa Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JPPSBN) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri;

Dan, Jawatankuasa Kebangsaan Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JKPPSBN) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Usaha-usaha kepada penandaan dan pengukuran sempadan negeri-negeri ini telah bermula sejak tahun 1993 lagi. Dan syukur, Alhamdulillah, dengan bantuan Kerajaan Persekutuan yang menanggung sebahagian kos proses penandaan sempadan ini telah membantu ke arah penandaan sempadan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya.

BISIKAN KE TELINGA

Pada awal ucapannya, sebagai reaksi kepada ucapan Dato’ Sr Mohd Nor sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebut tentang ‘bisikan’nya ke telinga Dato’ Sri Mohamed Azmin semasa mendengar ucapan Ketua Pengarah JUPEM itu agar kedua-duanya menghulurkan sumbangan kepada mereka yang berkenaan.

Mereka ini dalam kalangan kakitangan JUPEM yang menjalankan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan tersebut– seorang dipanah petir tetapi terselamat manakala sekumpulan lain terperangkap di atas kawasan tanahtinggi akibat cuaca buruk.

“Saya telah bisikkan kepada saudara saya, Dato’ Sri Mohamed Azmin, bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan beri jamuan sekali kepada pegawai JUPEM,”katanya yang menerima tepukan hadirin. “Dan, di Pahang kita juga akan buat jamuan”.

“Untuk yang dipanah petir, tapi Alhamdulillah selamat,” katanya lagi, “Saya bercadang untuk beri sedikit ganjaran,” yang sekali lagi menerima tepukan, “… tunai dan saudara saya Dato’ Sri Azmin juga akan beri ganjaran”.

“Bukan susah sangat… Kalau saya nak bagi RM10,000, kita pakat bagi lima(5)-lima (5),” yang tercetus ketawa hadirin. “Kalau nak bagi RM20,000, kita pakat bagi 10-10. Kalau nak bagi RM500, RM250 seorang,” katanya berseloroh yang sekali lagi menyebabkan hadirin tertawa.

BISIKAN IALAH ARAHAN

Dato’ Sri Mohamed Azmin pula dalam ucapan 16-minitnya, telah antara lain turut menyentuh tentang cadangan sumbangan ganjaran dan jamuan sepertimana yang Dato’ Sri DiRaja Adnan sebutkan.

“Atas arahan YAB,” katanya yang menyebabkan hadirin ketawa, “Menteri Besar Pahang, yang membisik tetapi sebenarnya dia cara British,” katanya dan hadirin ketawa lagi;

“Sudah tentulah negeri Selangor, sebuah negeri yang Peduli Rakyat,” yang menerima sorakan dan tepukan, “dengan ini saya nak umumkan negeri Selangor adalah Peduli JUPEM,” disusuli tepukan.

“Saya tidak teragak-agak untuk bersama dengan YAB Dato’ Sri DiRaja untuk menyumbangkan ganjaran di atas khidmat cemerlang pegawai yang berkenaan,”katanya dan menerima tepukan lagi.

Dan atas ‘arahan’ Menteri Besar Pahang jugalah menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor akan turut mengadakan Majlis Makan Malam sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan pegawai dan kakitangan JUPEM.

PERWATAKAN MASIH SAMA – BERSAHAJA, SANTAI

Sebelum itu, Dato’ Sri Mohamed Azmin turut menyebut tentang persahabatannya dengan Dato’ Sri DiRaja Adnan serta betapa perwatakan baik yang terus ditunjukkan oleh beliau selama tempoh itu hingga kini.

“Persahabatan kami telah melangkau satu tempoh yang begitu panjang, saya ingat sudah hampir 40 tahun. Tapi saya lihat, perwatakan beliau masih sama, bersahaja, santai,” kata Dato’ Sri Mohamed Azmin yang secara spontan menerima tepukan hadirin.

“Tetapi memberikan mesej yang cukup bermakna kepada kita semua pada petang ini supaya majlis yang penuh sejarah ini akan menjadi lembaran baru kepada dua (2) buah negeri – Pahang dan Selangor, untuk menjalin satu kerjasama yang lebih produktif di masa yang akan datang, InsyaAllah,” katanya lagi.

Sumber : Khabar Pahang

KOMEN DI FACEBOOK

508total visits,2visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.