BR1M- Ringkasan Kepada Bantuan Rakyat Satu Malaysia

Bantuan ini juga ada syarat dan terma dan penerima bukan sahaja perlu memohon malah mereka juga mestilah mempunyai kelayakan yang disyaratkan. Secara keseluruhan pemohon mestilah berpendapatan seisi rumah tidak lebih dari RM4000 sebulan. Ini bertujuan dan juga sebagai usaha Kerajaan membantu rakyat dalam kehidupan mereka. Apatah lagi didalam suasana kos hidup yang semakin meningkat.

BR1M juga diperkenal secara formal melalui pembentangan bajet yang dipersetujui bersama melalui majoriti Ahli Parlimen. Ia juga bukanlah satu paksaan kepada rakyat Malaysia untuk mengambilnya dan bukan pula dipilih kepada individu tertentu. BR1M juga dibayar melalui akaun penerima tanpa apa-apa perjanjian ataupun tuntutan. Ianya disalurkan tanpa mengenalpasti kepentingan politik atau individu. Banyak lagi usaha kerajaan yang telah dan sedang dilaksanakan dalam membantu rakyat samada secara langsung atau tidak.

Di negara-negara  Islam seperti Oman dan Arab Saudi telah juga diperkenal skim yang hampir sama iaitu bantuan kewangan, membina rumah serta subsidi air dan api dengan tujuan membantu rakyat. Demikianlah dizaman Khulafa Islam seumpama Khalifah Omar yang terlalu banyak membanting tenaga dan menghabiskan masa serta membelanjakan bekalan Baitul Mal serta zakat untuk membantu mereka yang memerlukan.

Ini juga adalah sunnah yang telah dicontoh oleh Rasulullah SAW sehingga turun Firman Allah surah al Insan ayat 8

ويطعمون الطعام على حبه مسكينا ويتيما وأسيرا.

“Mereka memberi makan sedang ia kasih kepadanya kepada orang miskin, si yatim dan si banduan.”

Ayat ini memadai sikap yang digambar Allah tentang NabiNya bersama para Sahabat Baginda SAW. Banyak sekali kisah bantuan dan keperihatinan Baginda SAW, bersama para sahabat sehingga diperkenalkan konsep seumpama hadiah, sumbangan, sedekah dan zakat. Semua ini ada pendekatan yang telah dididik agama kita.

Namun seandainya kita bertekad bahawa BR1M itu haram kerana ia adalah rasuah maka ia menjadi haram kepada individu itu sahaja. Namun tidak jatuh haram kepada orang lain yang yakin ia adalah Bantuan Kerajaan kepada Rakyat dibawah naungannya. Haram kepada yang beriktikad haram seumpama orang yang minum air sejuk biasa atas niat arak maka haram atau memakan daging lembu dengan niat daging yang diharamkan seumpama babi maka hukumnya adalah haram.

Maka nasihat kami, bagi yang memerlukan pohonlah BR1M dan gunalah tanpa was-was. Janganlah dipasang niat yang serong. Terimalah dengan hati bersih seperti murninya hasrat Kerajaan dalam membantu rakyat meringankan beban mereka.

Penerangan UMNO Pahang,
Dato Sri Syed Ibrahim.