//Guna Menara Tinjau, Dron Pantau Tanah Gambut

Guna Menara Tinjau, Dron Pantau Tanah Gambut

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan agensi terlibat kini menggunakan menara tinjau dan khidmat dron bagi melakukan pemantauan kes kebakaran tanah gambut di sekitar negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan agensi berkaitan telah menyediakan kemudahan pencegahan kebakaran tanah gambut ini bagi mengelakkan pencemaran udara berlaku.

“Saya amat hargai inisiatif pihak NRE ini dan sudah pasti kemudahan ini dapat mengatasi masalah kebakaran di tanah gambut dengan lebih berkesan.

“Selain pembinaan menara tinjau, terdapat juga telaga tiub dan ‘check dam’ dibina di kawasan tertentu yang dikenal pasti berisiko mudah berlaku kebakaran bertujuan untuk membekalkan air bagi memastikan tanahnya sentiasa basah.

Penggunaan teknologi seperti dron juga perlu diperluaskan bagi memudahkan pemantauan jika kebakaran berlaku,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2017 peringkat Pahang di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Adun Panching Datuk Mohd Zaili Besar dan turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengarah JAS Pahang, Rosli Zul.

Sementara itu, Rosli pada sidang media berkata terdapat 140,830 hektar tanah gambut di seluruh negeri Pahang meliputi daerah Pekan, Rompin dan Kuantan dan JAS dan agensi terlibat sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang untuk mengawasi kawasan hutan gambut yang mudah terbakar.

“Kejadian kebakaran di kawasan tanah gambut ini memang susah untuk dikawal atau dipadamkan kerana ia mudah merebak melalui bahagian bawah permukaan tanah dan sukar dikesan.

“Oleh itu, kepakaran dimiliki JBPM sangat diperlukan dan penting dalam mengawal kebakaran ini yang bukan sahaja boleh mencemarkan udara, tapi turut membawa risiko kepada kesihatan orang ramai,” katanya.- Bernama

33total visits,3visits today